COVID-19: Usahawan andaman lega boleh berniaga semula

Zulhafiiz Brahim
April 4, 2021 10:20 MYT
Saharuddin Japri yang telah memulakan perniagaan andaman sejak tahun 2011 mengakui situasi getir dihadapinya sejak penularan pandemik COVID-19. -Astro AWANI
LAHAD DATU: Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) antara perniagaan yang paling terjejas teruk adalah perkhidmatan andaman.
Bagi salah seorang peniaga di Lahad Datu, Saharuddin Japri yang telah memulakan perniagaan andaman sejak tahun 2011, dia mengakui situasi getir dihadapinya sejak penularan pandemik COVID-19.
Namun dengan sedikit kelonggaran yang diberikan oleh pihak kerajaan ketika ini memberi nafas lega kepada Saharuddin dan pengusaha andaman lain di negara ini.
"Saya sangat terkesan semasa pelaksanaan PKP dan perniagaan andaman saya hampir tidak dapat bertahan.
"Namun, syukur Alhamdullillah, sekarang sudah ada sedikit kelonggaran untuk mengadakan majlis dengan SOP yang ketat," katanya.
Dia yang baru berusia 26 tahun sudah berumah tangga dan mempunyai dua orang anak dan sebelum ini merupakan penjual sayur di ladang kelapa sawit.
"Kami lakukan promosi melalui laman web sosial seperti Facebook dan WhatsApp, ada jugalah pelanggan tetap yang membuat tempahan," jelasnya lagi.
Saharuddin kini cuma mampu menadah tangan dan berdoa agar perniagaannya mampu bertahan kerana dia dan keluarganya bergantung harap sepenuhnya kepada bidang andaman sahaja dan tidak mempunyai modal lagi untuk membuka perniagaan lain.
"Setelah kerajaan umumkan kelonggaran, tempahan mula diterima dan saya berharap dengan kebenaran mengadakan majlis, orang ramai akan patuhi SOP, imbas kod MySejahtera serta kerap membasuh tangan dengan sabun atau cecair pembasmi kuman.
"Pastikan juga ambil suhu badan dan yang paling penting, jangan leka semasa menghadiri majlis," pesan Saharuddin.
#Andaman #Saharuddin Japri #manjlis perkahwinan #SOP ketat #kelapa sawit #Pelaksanaan PKP #pandemik #perintah kawalan pergerakan #PKP #COVID-19
;