COVID-19: SC ingatkan pengurus dana, unit amanah, agar jaga kepentingan pelabur

Astro Awani
April 9, 2020 14:41 MYT
SC mengingatkan pemain industri tentang isu menjaga kepentingan pengguna.
Susulan keadaan pasaran semasa yang tidak menentu dan situasi yang belum pernah berlaku ekoran pandemik COVID-19, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengingatkan syarikat pengurusan dana dan pengurusan unit amanah mengenai kewajipan mereka untuk bertindak demi kepentingan pelabur pada sepanjang masa selain memastikan layanan adil kepada pelanggan mereka.
Dalam satu pekeliling yang dikeluarkan pada hari ini, SC menegaskan bahawa tadbir urus yang baik, tatalaku yang betul dan pematuhan berterusan terhadap peraturan pasaran modal adalah penting bagi pengantara pasaran modal untuk terus berfungsi.
Ini terutamanya merangkumi para profesional pengurusan pelaburan yang dilesenkan oleh SC, yang bertanggungjawab keatas pengurusan wang pelabur.
"Dalam situasi semasa pasaran, SC, sebagai pengawal selia pasaran modal, harus dan akan memastikan pasaran beroperasi secara adil dan teratur, dan perlindungan pelabur didukung sepenuhnya," kata Pengerusi SC, Datuk Syed Zaid Albar.
Pengantara pasaran modal perlu memantau rapi urus niaga dan dagangan dana dibawah pengurusan, dan memastikan pelanggan dimaklumkan berhubung potensi risiko pelaburan dana mereka.
SC turut menekankan bahawa peserta pasaran hendaklah mengurus dengan sewajarnya mudah cair dana, khususnya dalam mengurangkan ketidakpadanan berpotensi antara kecairan aset pendasar dana dan syarat-syarat penebusan.
#Amanah #COVID-19 #koronavirus #Malaysia #pelaburan #SC #Securities Commission #suruhanjaya sekuriti #syed albar
;