COVID-19: Peniaga lebih gembira urus perniagaan secara dalam talian - Mas Ermieyati

Astro Awani
Julai 6, 2021 10:12 MYT
Mas Ermieyati berkata, perniaagaan dalam talian akan menjadi norma baharu walaupun selepas fasa empat PPN nanti. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Lebih 62 peratus responden kajian SME Corp menyatakan rasa gembira untuk menguruskan perniagaan mereka secara dalam talian.
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia sekali gus akan menjadi norma baharu walaupun selepas fasa empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang dijangka pada akhir tahun ini.
"Hari ini pembelian dalam talian meningkat berbanding pada PKP pertama 19 peratus dan apabila PKP 3.0 meningkat lebih 59 peratus. Ini menunjukkan orang sudah mula menjadikannya sebagai satu amalan untuk mereka berbelanja di dalam talian dan saya tidak kira perkara itu akan berubah apabila kita mencapai imuniti nanti.
"Ia akan sampai bila-bila dan apatah lagi bila negara sudah memperluaskan digital dan semua kita lakukan di bawah kementerian untuk memastikan usahawan sentiasa ke depan bersama agensi lain.
"Saya kira kita sudah melangkah ke depan tetapi pada masa sama kedai fizikal perlu ada untuk mewujudkan kebolehpercayaan terhadap produk tetapi mungkin pada masa hadapan keadaanya sudah berubah," katanya semasa Niaga AWANI pada Selasa.
BACA: Pakej PEMULIH dirancang rapi, menyeluruh - Pakar ekonomi
BACA: Moratorium PEMULIH dianggar RM80 bilion, Malaysia negara tunggal laksanakan kali kedua
Kenanga Research sebelum ini menyatakan, ekonomi Malaysia dijangka pulih beransur-ansur ketika negara beralih ke fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada Julai dan Ogos dan fasa ketiga pada September dan Oktober, dengan lebih banyak sektor dibenarkan menyambung semula operasi.
Firma penyelidikan itu berkata ekonomi dijangka terus disokong oleh industri pembuatan terutamanya daripada sektor eksport memandangkan permintaan luar yang berterusan.
Sejak negara dilanda COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan pada Mac tahun lalu, kerajaan sudah memperkenalkan pelbagai pakej bantuan untuk membantu rakyat dan peniaga yang terjejas berikutan penutupan sektor ekonomi serta pengecilan operasi perniagaan, yang menyebabkan sebahagian rakyat hilang pekerjaan dan sumber pendapatan.
Antar pakej yang diperkenalkan kerajaan sebelum ini termasuk Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN), Prihatin PKS, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA), Pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Khas: Kita Prihatin, Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) dan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA).
#PKS #COVID-19 #Medac #PENJANA #Moratorium #PKP
;