COVID-19: MIDA lancar portal mudahcara kemasukan pelancong perniagaan
Firdaus Azil
Mac 3, 2021 14:15 MYT
Mac 3, 2021 14:15 MYT
KUALA LUMPUR: Pelancong perniagaan yang ingin memasuki negara ini, kini boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui portal https://safetravel.mida.gov.my berkuatkuasa hari ini.
Dalam satu kenyataan, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) berkata, laman Safe Travel Portal tersebut turut mengandungi pelbagai maklumat dan khidmat nasihat bagi memudahcara permohonan golongan berkenaan.
Menurut MIDA lagi, portal berkenaan merupakan sebahagian komponen kritikal inisiatif pusat sehenti (OSC), yang telah didirikan kerajaan Malaysia berkuatkuasa 2 Oktober lepas, khusus bagi mempercepatkan kemasukan pelancong perniagaan.
“Pusat ini memainkan peranan penting bagi memastikan Malaysia terus stabil dalam pemulihan ekonomi dan pertumbuhan; sambil mengimbangi kesihatan awam dan penghidupan, dan memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang kompetitif di Asia.
“Selain MIDA, Ia diwakili oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Kesihatan (KKM), dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk memastikan kesahihan dan status kesihatan pelancong perniagaan, sebelum mereka dibenarkan memasuki Malaysia,” menurut kenyataan itu lagi.
Selain itu, MIDA berkata, ia juga merupakan kerjasama antara Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra), Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), Malaysia Airlines Berhad (MAB) dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp).
Bagi pelancong perniagaan jangka pendek, iaitu kurang dari 14 hari, dan tidak mempunyai sebarang pas, mereka boleh dipertimbangkan untuk pengecualian kuarantin mandatori, tertakluk kepada kebenaran Jawatankuasa OSC, dan tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
Pelancong Perniagaan Jangka Masa Pendek boleh dikategorikan seperti berikut:-
1. Pelabur berpotensi yang ingin berniaga di Malaysia
2. Pelabur sedia , iaitu pemilik perniagaan, ahli lembaga pengarah, eksekutif dan syarikat bersekutu di Malaysia (tanpa pas pekerja)
3. Pelanggan perniagaan untuk kelayakan dan pengesahan produk sebelum pengeluaran komersial
4. Pakar teknikal untuk kes kecemasan ad-hoc bagi melayani pelanggan tunggal atau berganda di seluruh Malaysia
“Pelancong Perniagaan dari empat kategori di atas juga boleh memohon Pas Lawatan Sosial di bawah Pelancong Perniagaan Jangka Panjang, sekiranya mereka merancang untuk tinggal selama lebih dari 14 hari di negara ini,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagi Pelancong Perniagaan Jangka Masa Panjang pula, MIDA berkata, adalah mereka yang memegang pas yang sah, serta ingin tinggal di negara ini lebih dari 14 hari, perlu mematuhi kuarantin mandatori seperti mana garis panduan Kementerian Kesihatan.
Pelancong Perniagaan Jangka Masa Panjang boleh dikategorikan seperti berikut:-
1.Ekspatriat baru / sedia ada yang terkandas di luar negara, seperti pemegang pas pekerjaan yang aktif (EP), dan Pas Resident – Talent (RP-T).
2. Pakar teknikal asing baru / sedia ada yang terkandas di luar dengan Pas Lawatan Profesional (PVP) untuk melayani pelbagai pelanggan di seluruh Malaysia.
3. Pelancong perniagaan asing yang kerap (Exit & Return), termasuk penubuhan wilayah (RE), operasi serantau (RO), dan dan wakil hab utama (PH).
4. Pemegang Pas Penduduk Tetap (PR).
5. Pemegang Pas Lawatan Sosial Malaysia My 2nd Home (MM2H).
6. Pelancong perniagaan Malaysia yang kerap (Exit & Return).
7. Pemegang Pas Lawatan Sosial.
MIDA berkata, Pelancong Perniagaan mesti mendapatkan visa yang relevan (jika berkenaan) dari warganegara Malaysia yang berkenaan Pejabat Kedutaan atau Suruhanjaya Tinggi / Konsulat Jeneral di luar negara sebelum keberangkatan mereka ke Malaysia.
#MIDA
#PELANCONG perniagaan
#Portal
#perniagaan
#ekonomi
#Kementerian Kesihatan
#Kementerian Luar
#pelaburan
#operasi
#pelancong
#Malaysia
#kerajaan
#kesihatan
#COVID-19