COVID-19: Lebih 30,000 PMKS ditubuhkan tahun 2021 - Exco Perak

Abd Razak Mohd Ali
September 4, 2022 12:28 MYT
Zainol Fadzi berkata jumlah pendaftaran itu hampir sama dengan 30,000 PMKS yang terpaksa menutup perniagaan. - Gambar fail
IPOH: Pandemik COVID-19 yang melanda dunia sejak 2020 menyebabkan ramai orang kehilangan pekerjaan dan mula beralih ke sektor perniagaan untuk meneruskan kelangsungan hidup.
Di Perak sahaja, lebih 30,000 syarikat perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) didaftarkan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) tahun lalu.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Koperasi dan Usahawan Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharuddin berkata, bilangan itu hampir sama dengan 30,000 PMKS yang terpaksa menutup perniagaan.
“Kita semua sedia maklum, pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia sejak 2020 yang lalu telah menjejaskan dengan teruk keseluruhan ekosistem ekonomi termasuk usahawan PMKS ini,” katanya kepada Astro AWANI.
Menurutnya, sehingga 31 Julai 2022 sejumlah 153,401 syarikat enterprise, 26,311 Sdn. Bhd. dan 806 syarikat perkongsian terhad turut terkesan teruk dengan pandemik.
Katanya, bagi membolehkan usahawan PMKS ini dibantu dengan lebih bersepadu dan secara terancang, kerajaan negeri telah menubuhkan satu sekretariat khas.
Beliau berkata, sektetariat itu akan menyelaras, merancang, melaksana dan memantau semua program-program keusahawanan di Perak yang dilaksanakan oleh lebih 50 kementerian, jabatan, agensi, pihak berkuasa dan bank.
Dalam masa sama, ujarnya, sekretariat juga akan meningkatkan aspek pendigitalan usahawan dan koperasi di samping memperluaskan pasaran dan jenama usahawan dan koperasi di luar Perak dan peringkat antarabangsa.
“Fokus dan inisiatif ini juga adalah selaras dengan agenda yang telah ditetapkan di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030 dan juga Dasar Keusahawanan Negara 2030 yang telah dilancarkan di peringkat kerajaan persekutuan,” tambahnya.
#PMKS #usahawan #Pandemik COVID-19 #SSM Perak #exco Perak
;