COVID-19: Kerajaan Pahang hilang RM20 bilion ekoran sektor pelancongan ditutup
Mohd Zalani Md Atan
Ogos 2, 2021 06:47 MYT
Ogos 2, 2021 06:47 MYT
KUALA TAHAN: Kerajaan Pahang kehilangan hampir 20 billion nilai ekonomi dari pendapatan sektor pelancongan ekoran sektor tersebut ditutup akibat pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Susulan itu beberapa langkah berkaitan telah diambil bagi membolehkan sektor pelancongan dibuka semula antaranya mempersiapkan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih khusus yang perlu dipatuhi oleh pengunjung.
Menurut Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, antara perkara yang penting yang perlu dicapai adalah penduduk kawasan tumpuan pelancongan itu mesti telah mencapai imuniti kelompok.
"Tujuan kita mendapat vaksin ini adalah supaya kita dapat mengamalkan kehidupan seperti kehidupan yang biasa.
"Tetapi kalau kita tidak ada vaksin lagi, kita bukak ini yang menyebabkan penularan yang berleluasa jadi sebab itulah asas pertamanya adalah mesti mendapat vaksin.
"Saya ingin memberikan pandangan dan nasihat saya kepada semua penduduk ataupun mereka yang tinggal di kawasan ini, pastikan kita melengkapkan suntikan vaksin seperti yang telah ditetapkan," katanya.
Bagi SOP pengunjung yang datang ke lokasi pelancongan, selain bilangan kehadiran tidak melebihi jumlah yang akan ditetapkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN), mereka juga mestilah telah menerima lengkap dua dos vaksin.
"Yang nak datang ke mari mestilah mereka yang mendapat dua dos sebagai contohnya sudah lengkap dan mendapatkan sijil imunisasi.
"Yang keduanya kita akan adakan sekatan yang tertentu dan kita pastikan bahawa kita akan mengesan pelancong-pelancong yang hadir ini.
"Dari segi jumlah pelancong yang dibenarkan dalam satu masa ini juga penting kerana kita mahu pastikan bahawa kita sentiasa mematuhi SOP yang telah ditetapkan," jelasnya lagi.
Menurut Sharkar, daripada statistik imunisasi penduduk, Bukit Fraser telah mencapai imuniti kelompok sebanyak 94 peratus, dikuti Pulau Tioman 87.13 peratus manakala Taman Negara dijangka mencapai imuniti kelompok pada pertengahan Ogos ini.
Dari Januari hingga Mac tahun ini, Pahang kehilangan 79 peratus kehadiran daripada 3 juta pelancong berbanding tiga bulan pertama tahun lepas.
#COVID-19
#ekonomi
#PKP
#SOP
#sektor pelancongan
#Mohd Sharkar Shamsudin
#Pahang
#vaksin
#Bukit Fraser
#Pulau Tioman
#Taman Negara