COO PLUS Zakaria Ahmad Zabidi dipilih presiden baharu PSKLM
Bernama
Februari 20, 2022 08:17 MYT
Februari 20, 2022 08:17 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pegawai Operasi (COO) PLUS Malaysia Bhd Datuk Zakaria Ahmad Zabidi telah dipilih sebagai presiden baharu Persatuan Syarikat-Syarikat Konsesi Lebuhraya Malaysia (PSKLM) bagi penggal 2022-2024.
Pada mesyuarat agung ke-11 persatuan itu baru-baru ini, Pengurus Besar (Operasi Lebuhraya) Kumpulan Prolintas Azmee Nin turut dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala Wan Salwani Wan Yusoff yang juga COO Bahagian Tol IJM Corporation Bhd, dilantik sebagai Setiausaha, menurut kenyataan persatuan itu semalam.
PSKLM telah didaftarkan pada 9 Feb, 2011 dengan matlamat sebagai salah satu platform bagi menangani isu-isu penting berkaitan operasi lebuh raya di Malaysia.
Selain itu, ia turut berperanan sebagai medium perantaraan bagi syarikat konsesi, pihak berkuasa dan orang awam membincangkan isu-isu berkaitan lebuh raya semasa termasuk kadar tol, operasi dan penyelenggaraan lebuh raya.
-- BERNAMA