Cocotech 2022: Malaysia tuan rumah persidangan industri kelapa dunia

Ehsan A Marisah
November 7, 2022 19:06 MYT
Majlis perasmian Persidangan dan Pameran Antarabangsa Cocotech kali ke-50 Tahun 2022 (Cocotech 2022), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). - Foto MAFI
KUALA LUMPUR: Persidangan dan Pameran Antarabangsa Cocotech kali ke-50 Tahun 2022 (Cocotech 2022) menyaksikan Malaysia menjadi tuan rumah bagi membincangkan isu-isu yang memberi impak terhadap industri kelapa dunia.
Acara berprestij bertemakan "Climate Change Adaptation and Mitigation Strategy for a Resilient and Sustainable Coconut Agroindustry" itu dianjurkan bersama Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan International Coconut Community (ICC) yang berlangsung selama lima hari sehingga 11 November ini di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Timbalan Menteri I MAFI, Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, perbincangan mendalam dan menyeluruh berkaitan industri kelapa diharap bakal memperkukuh dan melonjakkan lagi industri tesebut.
"Antaranya adalah isu penyesuaian agronomik dan genetik kelapa terhadap perubahan iklim, pemuliharaan dan penggunaan sumber genetik kelapa, galakan bagi pembangunan eksport hijau produk kelapa serta kepentingannya dalam meningkatkan kesihatan awam dan pencegahan penyakit.
"Diskusi dan solusi terhadap isu-isu ini diharap mampu memperkukuh dan melonjakkan industri kelapa agar berdaya tahan dan mampan," katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama Persidangan dan Pameran Antarabangsa Cocotech kali ke-50 Tahun 2022, di sini, pada Isnin.
Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI merangkap Pegawai Perhubungan Negara bagi ICC, Datuk Badrul Hisham Mohd; Pengerusi ICC, Dr Viliami T. Manu dan Pengarah Eksekutif ICC, Dr Jeflina C. Alouw.
Dalam pada itu, Ahmad menambah, pihaknya sentiasa komited memastikan kolaborasi strategik pihak awam dan swasta di peringkat antarabangsa, selain berusaha memperkukuh produk tempatan untuk memacu pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian dan agromakanan.
“Bagi Malaysia, kelapa merupakan tanaman industri keempat terpenting selepas kelapa sawit, padi dan getah dengan jumlah keluasan tanaman seluas 84,942 hektar dan pengeluaran tahunan sebanyak 560,984 tan kelapa, melibatkan 66,000 petani,” ujarnya.
Jelasnya lagi, persidangan tersebut juga menyaksikan dua kertas akan dibentangkan negara selain beberapa pembentangan daripada pakar bidang kelapa sedunia.
"Malaysia akan turut membentangkan dua kertas pada 9 November ini pada sesi ketiga bertajuk "IoT Based Smart Irrigation System in Management of Coconut Nurseries" yang disampaikan Pengarah Bahagian Kejuruteraan Pertanian, Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Airul Asmiza Khaeruddin.
"Manakala kertas bertajuk "Good Agricultural Practies in Supporting Coconut Production and Industries" dibentang oleh Pengurus Penyelidikan Unied Plantations Bhd, Kandha Sritharan.
"Persidangan ini juga membuka ruang pembentangan dari pakar bidang kelapa antaranya Benjamin R. Madrigal Jr. daripada Philipine Coconut Authority, Filipina; Dr Joko Purbopspi dari Universiti Sam Ratulangi, Indonesia; Dr. Bart Panis, Genetic Resources Conversation, Alliances of Biodiversity International & CIAT, Belgium dan Dr Anitha Karun dari ICAR-Central Plantation Crop Research Institute (CPCRI), India," ujarnya.
Di samping itu, beliau berkata, sebanyak 40 reruai pameran daripada syarikat dalam dan luar negara berkaitan produk dan perkhidmatan kelapa turut dipamerkan sepanjang persidangan berlangsung dan dibuka secara percuma kepada orang ramai bermula di Dewan 6A dan 6B KLCC.
Katanya, Cocotech 2022 dijangka menerima kira-kira 400 orang peserta terdiri daripada delegasi negara-negara ahli dan bukan ahli di bawah ICC serta pakar-pakar tanaman kelapa seluruh dunia.
Untuk rekod, ICC ditubuhkan pada 1969 di bawah naungan Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Asia dan Pasifik (UN-ESCAP).
Ia berperanan sebagai platform merangsang kerjasama strategik, perkongsian, kepakaran, teknologi dan maklumat industri kelapa di samping menyokong permasalahan dihadapi negara anggota.
ICC terdiri daripada 20 negara pengeluar kelapa termasuk negara yang menyumbang lebih 90 peratus pengeluaran dan eksport kelapa dunia.
#MAFI #Cocotech 2022 #kelapa #Ahmad Hamzah
;