Co-opbank Pertama peruntuk RM10 juta, tawar skim pembiayaan CoStar
Astro Awani
Oktober 13, 2023 13:45 MYT
Oktober 13, 2023 13:45 MYT
KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) memperuntukkan dana sebanyak RM10 juta menerusi penawaran skim pembiayaan CoStart, yang mula dibuka bagi permohonan sejak 1 Oktober lalu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif VBP, Khairil Anuar Mohammad Anuar, skim berkenaan menawarkan pembiayaan minimum RM300,000 dan maksimum sehingga RM1 juta, dengan tempoh pembiayaan sehingga 10 tahun
"Skim ini bertujuan untuk menyediakan pembiayaan bagi modal pusingan aktiviti pembiayaan peribadi koperasi kepada anggotanya dengan syarat pembiayaan tersebut berlandaskan konsep Tawarruq sebagai kontrak pembiayaan.
"Menerusi skim ini, koperasi kredit baharu yang ditubuhkan kurang dari tiga tahun yang mempunyai kod Potongan Biro Perkhidmatan ANGKASA (BPA) atau Potongan Gaji Majikan (PGM) layak memohon," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Khairil Anuar berkata skim berkenaan merupakan satu inisiatif seiring dengan peranan CBP sebagai sebuah bank koperasi dalam Pelan Transformasi Koperasi Malaysia (TRANSKOM) 2021 hingga 2025.
Tambahnya, CBP komited untuk membantu gerakan koperasi di negara ini.
"Ini merupakan langkah yang diambil oleh CBP bagi memasyarakatkan koperasi dan secara tidak langsung dapat membantu memperkasakan gerakan koperasi," katanya.
Pada Jun lalu, CBP mencatatkan keuntungan sebelum cukai berjumlah RM103.43 juta iaitu yang tertinggi sejak penubuhan institusi perbankan itu sejak 1950.
Keuntungan itu melonjak 20 peratus berbanding tahun sebelumnya iaitu sebanyak RM86.14 juta.