Cloud Cookies sasar buka 10 cawangan

Nabihah Hamid
Mac 10, 2015 18:56 MYT
Cloud Cookies merancang untuk membuka 10 cawangan di pusat beli-belah sekitar Lembah Klang dalam tempoh dua tahun.
Pengusaha Industri Kecil dan Sederhana, IKS, bumiputera tempatan yang sedang meningkat naik, Cloud Cookies Sdn. Bhd. merancang untuk membuka 10 cawangan di pusat beli-belah sekitar Lembah Klang dalam tempoh dua tahun.
Pengusahanya, Eniliana Rayudin berkata beliau menjangkakan penubuhan cawangan pada tahun 2017 akan menawarkan lebih 20 jenis biskut.
Telah beroperasi hampir dua tahun, Eni pada mulanya hanya mengusahakan di rumah sehinggalah membuka sebuah kedai untuk menjadi pengedar.
Permintaan yang semakin meningkat terhadap biskut buatannya menggalakkan lagi dirinya untuk membuka cawangan.
"Alhamdulillah dari hari ke hari, perniagaan semakin mendapat sambutan. Saya memang rancang untuk membuka cawangan di pusat beli belah di sekitar Lembah Klang.
"Mungkin boleh bersaing dengan Famous Amos," katanya kepada wartawan.
"Kenapa tidak kita cuba untuk luaskan Cloud Cookies dan mungkin satu hari nanti saya dapat pasarkan di luar negara," kata Eni yang bekerja sebagai akauntan sebelum ini.
Jualan hampir 30 ribu bekas setahun, Cloud Cookies mempunyai 18 ejen seluruh Semenanjung Malaysia.
"Kami juga akan sasar lebih banyak jualan lepas ini dan mungkin lepas ini akan cuba mendapatkan ejen di Sabah dan Sarawak."
Mempunyai empat orang pekerja, katanya musim perayaan merupakan bulan yang paling sibuk terutamanya pada hari raya. Tambahnya jualan akan bertambah tiga kali ganda.
Setakat ini katanya, terdapat 14 jenis biskut dan perisa Oreo serta kekacang adalah yang paling laris.
#biskut #Cloud Cookies #Eniliana Rayudin #IKS
;