Clinker Line 2 Cahya Mata dijangka siap Mac 2027, bantu tingkat pengeluaran simen Sarawak
Dagang News
Januari 23, 2025 13:15 MYT
Januari 23, 2025 13:15 MYT
KUALA LUMPUR: Cahya Mata Cement Sdn Bhd (Cahya Mata Cement), anak syarikat milik sepenuhnya Cahya Mata Sarawak Berhad (Cahya Mata), bersedia untuk menggandakan kapasiti pengeluaran bahan asas dalam pengeluaran simen, klinker, melalui pembangunan Clinker Line 2 yang dijangka siap pada Mac 2027.
Ringkasan AI
- Cahya Mata Cement sedang membangunkan Clinker Line 2 yang dijangka siap pada Mac 2027 untuk menggandakan kapasiti pengeluaran klinker daripada 900,000 kepada 1.92 juta metrik tan setiap tahun.
- Projek ini melibatkan teknologi canggih seperti sistem pemulihan haba sisa dan sistem penapisan debu lanjutan, serta penggunaan bahan mentah dan bahan api alternatif untuk meningkatkan kecekapan dan kelestarian.
- Fasa pembinaan akan mewujudkan sehingga 500 peluang pekerjaan dan setelah siap, Cahya Mata Cement akan mencapai kapasiti pengeluaran simen tahunan sebanyak 2.4 juta metrik tan, mencukupi untuk memenuhi permintaan Sarawak bagi 15 tahun akan datang.
Projek itu, yang kini dalam proses kelulusan, merupakan kerjasama dengan Sinoma Industry Engineering (M) Sdn Bhd dan bertujuan untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran serta kelestarian.
Apabila beroperasi, garisan klinker baharu di kilang Mambong tersebut akan meningkatkan kapasiti pengeluaran klinker daripada 900,000 kepada 1.92 juta metrik tan setiap tahun, memastikan kecukupan bekalan dan menghapuskan keperluan untuk mengimport bahan berkenaan.
Clinker Line 2 akan dilengkapi dengan teknologi canggih, termasuk sistem pemulihan haba sisa yang mampu menghasilkan sehingga 6MW kuasa serta sistem penapisan debu lanjutan yang mengurangkan pengeluaran karbon kepada separuh daripada had peraturan yang ditetapkan.
Penggunaan bahan mentah dan bahan api alternatif juga akan mengurangkan kebergantungan terhadap bahan api fosil, sejajar dengan matlamat alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) Cahya Mata Cement.
Fasa pembinaan yang dijangka mengambil masa 24 bulan itu akan mewujudkan sehingga 500 peluang pekerjaan, memberikan manfaat ekonomi kepada masyarakat tempatan di Padawan.
Setelah siap, Cahya Mata Cement juga akan mencapai kapasiti pengeluaran simen tahunan sebanyak 2.4 juta metrik tan, mencukupi untuk memenuhi permintaan Sarawak bagi 15 tahun akan datang.
Sejak ditubuhkan pada tahun 1974, Cahya Mata Cement telah menyokong projek-projek kemudahan di seluruh negeri.
Syarikat turut mengendalikan kilang pengisaran di Kuching dan Bintulu serta terminal marin di Sibu dan Miri, memastikan bekalan simen yang stabil dan boleh dipercayai.
Ketua Bahagian Cahya Mata Cement, Choong Ju Tang berkata, setelah projek Clinker Line 2 diluluskan dan pembinaannya selesai, Cahya Mata Cement akan berada dalam kedudukan yang baik untuk memenuhi dan melebihi permintaan industri pembinaan Sarawak untuk masa depan.
"Seiring dengan perkembangan pesat Sarawak, Cahya Mata Cement tetap komited untuk menyediakan bekalan simen berkualiti yang mampan dan tidak terganggu, mengukuhkan peranannya dalam menyokong pertumbuhan negeri ini," katanya dalam satu kenyataan. - DagangNews.com
#Cahya Mata Cement
#pengeluaran bahan asas dalam pengeluaran simen
#klinker
#Clinker Line 2
#Sinoma Industry Engineering