CIMB-Tesco lancar kerjasama strategik, bakal manfaat 10 juta pelanggan
Nurulhana Ismail
Mac 31, 2016 11:39 MYT
Mac 31, 2016 11:39 MYT
Syarikat kewangan CIMB Bank Berhad dan pasar raya besar Tesco Stores (Malaysia) Sdn Bhd melancarkan pelan kerjasama strategik lima tahunnya hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif CIMB, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata pelan strategik itu menyaksikan pelanggan memperoleh nilai tambah dalam pembelian menerusi kiosk CIMB dan kad kredit CIMB Tesco MasterCard.
"Kerjasama ini akan melihatkan lebih ramai pelanggan baru berpotensi CIMB yang akan melanggan kad kredit kami.
"Ketika ini kami mempunyai tujuh juta pelanggan kad debit dan satu juta kad kredit ditambah tiga juta pelanggan setiap minggu yang mengunjungi pasaraya Tesco," kata beliau di majlis pelancaran kerjasama strategik CIMB-Tesco di Tesco Mutiara Damansara.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia Paul Ritchie berkata ketidaktentuan ekonomi selain pelaksanaan GST ketika ini menyaksikan pelanggan lebih behati-hati dalam perbelanjaan harian.
"Menyedari akan hal ini, kami komited untuk membantu pelanggan dengan memberikan mereka nilai tambah dalam pembelian mereka serta penjimatan berterusan menerusi kerjasama ini," ujar beliau.
Pengguna kad kredit CIMB Tesco MasterCard juga bakal menikmati pengecualian yuran tahunan bermula 1 April 2016 sehingga 31 Mac 2017.
Bagi setiap RM2 yang dibelanjakan pelanggan Tesco menggunakan kad kredit ini, satu mata Tesco Clubcard akan diberikan, nilai mata berganda berbanding kad Tesco Clubcard biasa.
Manakala sebanyak 38 kiosk CIMB akan ditempatkan di seluruh pasaraya Tesco di Malaysia dalam tempoh empat bulan pelancaran.
Kiosk ini yang akan beroperasi setiap hari bermula 11 pagi hingga 8 malam, akan memberikan akses kepada perkhidmatan produk-produk CIMB seperti CIMB Islamic dan lain-lain.