CIMB sasar jumlah pinjaman tumbuh 5-7 peratus pada tahun ini

Bernama
Mac 28, 2024 08:40 MYT
CIMB berkata dalam tempoh 12 bulan terakhir pelan strategik lima tahun Forward23+, bank itu berpendirian utuh dalam usaha mencapai cita-cita serta sasaran akhir 2024.
KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd (CIMB) menyasarkan jumlah pertumbuhan pinjaman dalam lingkungan lima hingga tujuh peratus tahun ini dengan pulangan ekuiti (ROE) pada 11.0-11.5 peratus.
Bagi tempoh sama, nisbah kos kepada pendapatan (CIR) pula di bawah 46.9 peratus manakala liputan kerugian pinjaman antara 30 dan 40 mata asas.
Dalam Laporan Tahunan 2023 yang difailkan kepada Bursa Malaysia semalam, institusi perbankan itu juga mengunjurkan dapat mengekalkan nisbah Ekuiti Biasa Kumpulan 1 (CET1) pada atau melebihi 13.5 peratus dan nisbah pembayaran dividen kekal 40-60 peratus dengan panduan sebanyak 55 peratus.
CIMB berkata panduan ROE dan CIR berkemungkinan susut daripada sasaran Forward23+ yang pada awalnya ditetapkan pada 2020 (ROE 11.5-12.5 peratus dan CIR pula sama atau kurang daripada 45 peratus), kebanyakannya disebabkan oleh modal terkumpul tinggi selain kesan negatif terhadap pendapatan faedah bersih daripada margin pendapatan bersih (NIM) susulan persekitaran kos deposit yang mencabar.
"Kami menyasarkan untuk menanganinya secara lebih berkesan pada 2024 dan telah melaksanakan perancangan bagi mengutamakan NIM dan pengurusan modal.
"Menerusi cara ini, kami percaya kumpulan telah mewujudkan satu platform kukuh di bawah strategi Forward23+ untuk terus melonjakkan CIMB ke tahap lebih bermakna. Kami berharap dapat meraih pencapaian itu dengan anda yang juga pihak berkepentingan kami," katanya.
CIMB turut menyambut kehadiran 2024 dengan sentimen optimis namun berhati-hati, disokong oleh strategi serta rancangan kukuh bagi menangani atau menguruskan pelbagai cabaran luaran dan sepatutnya diterjemahkan dalam bentuk prestasi kewangan lebih baik bagi tahun ini.
Menurutnya, ekonomi domestik dan serantau kekal berdaya tahan selepas tekanan inflasi mereda dengan penggunaan dan pelaburan pula bertambah baik manakala perdagangan global mencatat pemulihan.
"Bagaimanapun, kami menjangkakan ketidaktentuan akan ketara sehingga 2024 dengan ketegangan geopolitik kekal berleluasa dan ditambah dengan ketidakpastian mengenai prospek kadar faedah dan kesan daripada kelembapan ekonomi yang berlaku di China.
"Kami akan terus memantau risiko ekonomi ini ketika mengemudi perniagaan berpandukan strategi kumpulan," katanya.
Selain itu, CIMB berkata dalam tempoh 12 bulan terakhir pelan strategik lima tahun Forward23+, bank itu berpendirian utuh dalam usaha mencapai cita-cita serta sasaran akhir 2024.
"Kami akan terus kukuh dalam melaksanakan strategi dan inisiatif, khususnya dalam mengembangkan segmen sasaran, memperketat pengurusan risiko kredit serta mengekalkan kawalan kos yang ketat.
"Usaha akan diteruskan bagi mengurangkan pinjaman serta mengekalkan tahap kerugian pinjaman yang tinggi melalui pengurusan risiko berhemat serta pemantauan kualiti aset," katanya.
CIMB berkata sejajar dengan jangkaan persekitaran NIM kekal mencabar, kumpulan itu menyasarkan untuk terus memberi penekanan terhadap NIM dan pengurusan lembaran imbangan selain meneruskan pengukuhan akaun simpanan/akaun semasa (CASA) dan francais deposit.
"Bagi tempoh yang menyaksikan kos meningkat ini, kami juga berwaspada dalam mengawasi perbelanjaan operasi tanpa perlu mengorbankan pelaburan yang amat diperlukan bagi meningkatkan daya tahan teknologi serta digital kami," katanya.
-- BERNAMA
#CIMB #pinjaman #Inflasi #pelaburan
;