CIMB, RHB CAPITAL dan MBSB mohon kelulusan Bank Negara untuk penggabungan tiga pihak

Bernama
Oktober 9, 2014 21:30 MYT
Serentak itu, CIMB Islamic, RHB Islamic dan MBSB akan bergabung untuk membentuk sebuah bank Islam mega. - Foto Fail
CIMB Group Holdings Bhd, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) hari ini mengumumkan mengenai permohonannya kepada Bank Negara Malaysia untuk mendapatkan kelulusan cadangan penggabungan tiga pihak.
Penggabungan itu bakal menyaksikan pertukaran saham antara CIMB Group dan RHB Capital pada nisbah pertukaran 1.38 (satu saham, RHB Capital bagi 1.38 saham CIMB Group).
Ini berasaskan harga petunjuk pasaran RM7.27 sesaham CIMB Group dan RM10.03 sesaham RHB Capital, demikian menurut kenyataan oleh CIMB Group, RHB Capital dan MBSB.
Pemegang saham CIMB Group akan memiliki 70 peratus CIMB-RHB Group da pemegang saham RHB Capital baki 30 peratus.
Serentak itu, CIMB Islamic, RHB Islamic dan MBSB akan bergabung untuk membentuk sebuah bank Islam mega.
Ini akan dilakukan pada harga RM2.82 sesaham MBSB, dan pemegang saham MBSB akan mempunyai opsyen menerima tunai atau saham CIMB Islamic.
Bank Islam mega yang baru diwujudkan itu akan kekal sebagai anak syarikat CIMB-RHB yang digabungkan bersama bekas MBSB dan/atau pemegang saham strategik baharu.
Menurut kenyataan itu, perjanjian itu dijangka selesai pada pertengahan 2015.
Pihak yang terlibat kini melalui proses kajian terperinci ke arah memeterai perjanjian jual beli (SPA) muktamad pada awal 2015.
Susulan SPA, kelulusan pengawal atur dan pemegang saham perlu diperoleh.
Entiti yang digabungkan itu akan menjadi kuasa besar kewangan Islam utama Asean dan bank Islam mega.
Saham-saham CIMB Group, MBSB dan RHB Capital, yang digantung hari ini kali akhir didagangkan masing-masing RM6.98, RM2.37 dan RM8.70.
Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Datuk Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata proses itu akan memperkukuh kedudukan CIMB Group antara bank utama di Asean dan menawarkan pelbagai peluang pewujudan nilai untuk pemegang sahamnya.
"Kami teruja kerana kini boleh bergerak dan bekerja bersama untuk memperoleh kelulusan perlu membabitkan penggabungan ini," katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan RHB Capital Kellee Kam pula berkata penggabungan ini akan membolehkan bank berkenaan menjadi kuasa besar kewangan serantau.
"Tugas kami kini ialah memastikan kami memenuhi semua jangkaan pemegang kepentingan kami, sekali gus mewujudkan peluang-peluang baharu untuk pekerja, meningkatkan perkhidmatan dan penawaran produk kepada pelanggan kami serta meningkatkan pulangan dan nilai untuk pemegang saham," kata Kam.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif MBSB Datuk Ahmad Zaini Othman berkata rasional strategik penggabungan itu dan pewujudan bank Islam mega kini jelas dan MBSB kini fokus untuk merealisasikannya.
"Usaha ini mencatat satu lagi kejayaan penting dalam sejarah MBSB sejak penubuhannya dan kami sangat gembira menjadi sebahagian daripada proses korporat ini," katanya.
#Bank Negara Malaysia #CIMB Group Holdings Bhd #MBSB #penggabungan #RHB Capital Bhd
;