CIMB: Ralat pemprosesan hanya libat segelintir pelanggan

Bernama
Februari 11, 2022 21:22 MYT
CIMB berkata ralat pemprosesan itu menyebabkan pemindahan yang dibuat kepada pelanggan diproses dua kali secara tidak sengaja. - Gambar fail/ EPA
KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Bhd hari ini menjelaskan ralat pemprosesan yang memberikan kesan kepada pelanggannya bulan lepas adalah berkaitan perkhidmatan kiriman wang pihak ketiga dan hanya melibatkan segelintir pelanggan yang membuat pemindahan dana antarabangsa ke tempatan.
Penyedia perkhidmatan kewangan itu berkata ralat pemprosesan itu menyebabkan pemindahan yang dibuat kepada pelanggan diproses dua kali secara tidak sengaja, sekali gus mengakibatkan pelanggan yang terkesan menerima kredit duplikasi ke dalam akaun mereka, iaitu transaksi duplikasi yang menyebabkan jumlah dana yang diterima adalah dua kali ganda daripada yang sepatutnya diterima.
"Sumber dana bagi transaksi duplikasi tersebut adalah daripada wang pihak bank dan bukannya pihak pengirim mahupun penerima," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Selaras dengan amalan perbankan bagi kejadian seperti ini, CIMB berkata ia telah mengambil langkah untuk menahan amaun kredit duplikasi tersebut yang telah diproses secara ralat untuk memastikan wang itu dapat dipulangkan kepada akaun pelanggan yang terkesan.
"Kami ingin menjelaskan sekali lagi bahawa akaun tersebut tidak dibekukan dan pelanggan masih boleh menggunakan baki dana melebihi amaun yang terkesan," menurut CIMB.
CIMB berkata demikian susulan kenyataan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini bahawa bank pusat akan mengambil langkah serta tindakan penyeliaan sewajarnya ke atas CIMB sekiranya terbukti berlaku sebarang pelanggaran undang-undang atau pengawalseliaan dalam insiden membabitkan kesilapan pemprosesan bank itu baru-baru ini.
CIMB berkata, "Ia mengambil maklum seruan BNM untuk memastikan layanan adil kepada pelanggan dan komited sepenuhnya dalam mematuhi Dokumen Polisi BNM mengenai Layanan Adil kepada Pengguna Kewangan bagi menangani perkara ini."
Menurutnya ia sedang dalam perbincangan, di samping bekerjasama rapat dengan pelanggan yang terkesan untuk memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.
"Ini termasuk menyediakan bukti dan dokumentasi yang jelas mengenai kredit duplikasi yang tercatat dalam penyata bank mereka dan menyediakan skim pembayaran balik yang fleksibel berdasarkan keadaan individu pelanggan," katanya.
CIMB turut menyediakan talian khusus kepada pelanggan iaitu +603 2295 6188 atau menghubungi pusat panggilan pelanggan di talian +603 6204 7788 untuk mendapatkan bantuan.
-- BERNAMA
#CIMB #ralat #Bank Negara Malaysia #pelanggan
;