CIMB peruntuk RM2.5 juta tawar bantuan kepada pelanggan terjejas banjir
Khalis Khadir
November 30, 2024 18:00 MYT
November 30, 2024 18:00 MYT
KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) memberi pelepasan bayaran pinjaman dan pembiayaan untuk enam bulan bagi pelanggan individu dan perniagaan yang terjejas akibat banjir.
Menerusi kenyataan pada Sabtu, CIMB Bank dan CIMB Islamic Bank menawarkan kemudahan kepada pelanggan untuk permohonan Pelan Bantuan Banjir dengan hanya menyediakan maklumat asas sahaja.
Kumpulan perbankan itu berkata, caj dan fi lewat tidak akan dikenakan kepada pelanggan yang terjejas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, mereka komited untuk menyokong usaha bantuan banjir segera dan pemulihan jangka panjang dengan peruntukan RM2.5 juta.
"Kami berharap usaha kami akan membantu meringankan beban kewangan dan perniagaan mereka yang terjejas banjir dengan penyediaan dana ini dalam membantu membina semula kehidupan dan mata pencarian mereka,” katanya.
Bagi pelanggan PKS yang terkesan banjir dan memerlukan bantuan aliran tunai tambahan, mereka boleh memohon Kemudahan Bantuan Bencana sehingga RM700,000 dengan kadar pembiayaan berpatutan.
Jelasnya, caj juga tidak akan dikenakan bagi penggantian kad debit atau kredit, permohonan penyata akaun atau penggantian buku akaun serta buku cek yang rosak.
CIMB juga katanya akan bekerjasama dengan pihak insurans untuk mempercepatkan proses tuntutan insurans di kawasan terjejas banjir.