CIMB lancar aplikasi mudah alih baharu pada November
Bernama
Jun 9, 2016 18:11 MYT
Jun 9, 2016 18:11 MYT
CIMB Group Holdings Bhd dijangka melancarkan aplikasi mudah alih CIMB Clicks yang baharu pada November, menyediakan kualiti perkhidmatan bagi pembayaran dalam talian yang dipertingkatkan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata versi yang dipertingkatkan itu tepat pada masanya, berdasarkan penggunaan pembayaran dalam talian yang meningkat dengan lebih 700 juta pengguna perbankan digital di Asia dan sejajar dengan visi bank, ke arah tanpa kertas pada masa depan.
"Kami berpuas hati (dengan aplikasi CIMB Clicks pada masa ini) tetapi lebih banyak lagi boleh dilakukan.
"Oleh itu, anda akan menyaksikan versi CIMB Clicks yang baharu dan dipertingkatkan," katanya kepada pemberita di luar Wild Digital Conference 2016, dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, di sini hari ini.
Baru-baru ini, kumpulan itu melancarkan penyelesaian perbankan digital yang baharu, Kad Korporat CIMB, untuk memenuhi sasaran yang ditetapkan oleh Bank Negara Malaysia untuk mengurangkan penggunaan cek daripada 207 juta pada 2011 kepada 100 juta menjelang 2020.
Tengku Zafrul berkata penyelesaian baharu itu dan CIMB Clicks, yang tidak lama lagi akan dilancarkan, akan membolehkan bank melaksanakan perniagaan automasinya, selain menawarkan platform yang selesa kepada generasi muda dan sektor korporat menjalankan urus niaga dalam talian.
Ditanya sama ada inisiatif tanpa kertas akan menyaksikan pembukaan cawangan yang berkurangan, katanya bank sentiasa mengkaji proses ini dan terus menumpukan kepada meluaskan dan meningkatkan usaha dalam mencapai pelanggan.
Beliau juga berkata peningkatan pengaruh teknologi kewangan, atau fintech, ke atas sistem perbankan menyebabkan orang ramai kini kurang pergi ke cawangan.
Tengku Zafrul berkata daripada melihat fintech sebagai cabaran, kumpulan bekerjasama rapat dengan peserta dalam segmen itu untuk merebut peluang, terutamanya dalam talian untuk membantu mengubah CIMB pada masa depan.
"Selain itu, CIMB turut melaksanakan beberapa inisiatif untuk menangani isu fintech, seperti membuka kiosk dan sub-cawangan untuk memastikan capaian kepada pelanggan adalah lebih baik," katanya.
Fintech merupakan industri ekonomi terdiri daripada syarikat yang menggunakan teknologi untuk menjadikan perkhidmatan kewangan lebih cekap.