CIMB Investment Bank kekalkan tempat teratas untuk bon dan ekuiti tempatan
Bernama
Ogos 25, 2015 22:08 MYT
Ogos 25, 2015 22:08 MYT
CIMB Investment Bank telah mengekalka kedudukan nombor satu untuk bon dan ekuiti tempatan, bon ASEAN dan pengatur bagi sukuk global dari tahun sehingga 24 Ogos 2015.
CIMB dalam satu kenyataan hari ini, berkata ia telah mengekalkan kedudukan teratas dalam Jadual Liga Penaja Jamin Bloomberg untuk bon ringgit selama 10 tahun berturut-turut dan dari tahun sehingga 24 Ogos 2015, dimana ia menguasai bahagian pasaran sebanyak 23.8 peratus dengan 52 terbitan bernilai RM8.62 bilion dalam tempoh tersebut.
Sejak empat tahun lepas dan dari tahun sehingga 24 Ogos 2015, bank itu mengekalkan tempat pertama dalam Jadual Liga Penaja Jamin Bloomberg untuk bon domestik ASEAN dengan terbitan sebanyak US$4.37 bilion dan menguasai sebanyak 13.6 peratus perkongsian pasaran di rantau ini, dengan 127 terbitan.
"Kami juga telah mengekalkan kepimpinan kami dalam Jadual Liga Penaja Jamin Sukuk Global Bloomberg dengan perkongsian pasaran sebanyak 14.4 peratus dan tawaran berjumlah US$3.23 bilion.
"Dari segi ekuiti, kami juga menduduki tempat pertama dalam senarai Jadual Liga Pasaran Modal Ekuiti (ECM) Dealogic Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand (MIST) untuk 2015 sehingga sekarang, dengan penguasaan dan tawaran pasaran yang mengumpulkan sebanyak US$2.68 bilion, katanya.
Dalam tempoh yang sama, CIMB juga mengetuai Jadual Liga ECM Dealogic Malaysia dengan perkongsian pasaran sebanyak 29.5 peratus dan berhasil mengumpulkan RM9.27 bilion dalam modal ekuiti.
CIMB juga mengekalkan kedudukan teratas dalam senarai jadual liga ECM MIST Dealogic dan Bloomberg sejak 10 tahun lepas dengan mengumpulkan modal ekuiti sebanyak US$55.08 bilion sejak 2005.
Ketua Eksekutif Kumpulan CIMB, Tengku Datuk Zafrul Aziz, berkata penguasaan CIMB dalam bon dan dana ekuiti sepanjang dekad yang lepas adalah bukti kepakarannya dalam ASEAN serta kedudukannya yang kukuh di rantau ini.
"Kami melihat peluang pertumbuhan dalam segmen dan pasaran tertentu di seluruh rantau tahun ini meskipun rantau ini mempunyai petunjuk ke arah unjuran ekonomi yang lebih perlahan disebabkan rintangan dalaman dan luaran," katanya.
#ASEAN
#Bloomberg
#CIMB Investment Bank
#Jadual Liga ECM Dealogic Malaysia
#Sukuk
#Tengku Datuk Zafrul Aziz