CIMB catat untung bersih RM3.9 bilion dalam 6 bulan

Nina Rozman
Ogos 30, 2024 06:40 MYT
Kata Novan, pencapaian CIMB disokong oleh kepercayaan pelanggannya, kerjasama dengan rakan kongsi dan pelaksanaan strategi yang berterusan di bawah pelan strategik Forward23+ CIMB, sambil kekal responsif kepada trend semasa. - Foto CIMB
KUALA LUMPUR: CIMB Group Holdings Berhad (CIMB), mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM3.9 bilion, meningkat 14 peratus tahun ke tahun bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2024 berbanding RM3.42 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB, Novan Amirudin berkata, pencapaian separuh pertama tahun ini mencerminkan satu lagi prestasi positif bagi kumpulan.
Kata Novan, pencapaian CIMB disokong oleh kepercayaan pelanggannya, kerjasama dengan rakan kongsi dan pelaksanaan strategi yang berterusan di bawah pelan strategik Forward23+ CIMB, sambil kekal responsif kepada trend semasa.
"Prestasi ini didorong oleh pertumbuhan pendapatan operasi yang kukuh, kawalan kos yang berdisiplin, dan peningkatan dalam kualiti aset yang disumbangkan oleh portfolio ASEAN yang pelbagai, yang melayani semua segmen pelanggan
"Budaya pengurusan risiko kami yang mantap juga membolehkan kumpulan mengurus risiko dalam pasaran semasa yang tidak menentu", katanya pada sidang media pengumuman keputusan kewangan separuh pertama 2024 CIMB pada Jumaat.
Tambah beliau, bagi mengukukhkan daya tahan operasi, kumpulan telah melabur dan akan terus melabur dalam teknologi, sistem dan proses untuk menyediakan persekitaran perbankan yang selamat dan lancar untuk semua pelanggan.
Di samping itu, pendapatan operasi separuh pertama 2024 meningkat 8.7 peratus tahun ke tahun kepada RM11.23 bilion, dengan pendapatan faedah bersih (NII) meningkat 6.7 peratus kepada RM7.65 bilion yang disokong oleh pertumbuhan margin faedah bersih (NIM) dan aset.
"Strategi disiplin harga dan dipacu deposit untuk menangani tekanan NIM industri pada tahun 2023 mula membuahkan hasil, menghasilkan pengembangan NIM untuk dua suku berturut-turut dengan peningkatan sebanyak 7bps dalam separuh pertama 2024," katanya.
Selain itu, pertumbuhan pinjaman meneruskan momentumnya, meningkat 4.2 peratus tahun ke tahun dari pasaran dan segmen.
Manakala, deposit meningkat 2.7 peratus tahun ke tahun.
Nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) mencatatkan 40.9 peratus pada Jun 2024, meningkat daripada 38.5 peratus pada Jun 2023.
Sementara itu, pendapatan bukan faedah (NOII) meningkat 13.2% kepada RM3.58 bilion, dengan nisbah NOII meningkat kepada 31.9 peratus, berbanding 30.9 peratus pada separuh pertama 2023, didorong oleh peningkatan yuran, jualan pelanggan perbendaharaan, dan dagangan.
Selaras dengan itu, CIMB mencadangkan dividen interim tunai sebanyak 20.00 sen sesaham dan dividen khas sebanyak 7.00 sen sesaham.
Dividen interim ini berdasarkan nisbah pembayaran 55 peratus berdasarkan keuntungan bersih separuh pertama 2024, selaras dengan dasar dividen kumpulan.
Novan berkata, kumpulan tersebut optimis untuk baki tahun ini sambil berhati-hati dan responsif terhadap trend industri seperti cabaran ekonomi global dan ketidaktentuan pasaran yang masih berterusan.
"Pelan strategik Forward23+ CIMB akan tamat pada akhir tahun ini, dan kami sedang merangka pelan strategik seterusnya yang akan kami umumkan bersama-sama keputusan tahun kewangan 2024 dengan mengambil kira keperluan pelanggan, trend, dan landskap persaingan
"Komitmen kami adalah untuk melabur dalam masa depan perniagaan termasuk memastikan kelestarian menjadi keutamaan dalam keseluruhan operasi kami," tambah beliau.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan itu, CIMB baru-baru ini mengumumkan sasaran iklim 2030 untuk portfolio minyak dan gas serta hartanah kumpulan.
Ia sebagai tambahan kepada sasaran yang telah diumumkan sebelum ini untuk perlombongan arang batu terma, simen, kelapa sawit, dan kuasa.
Ini menjadikan CIMB, bank pertama Malaysia yang melengkapkan sasaran penyahkarbonan 2030 sebagai sebahagian daripada komitmen kumpulan itu terhadap sifar bersih 2050.
"Kami berbesar hati dapat memberi perkhidmatan kepada semua segmen pelanggan daripada golongan kurang mendapat perkhidmatan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), korporat dan kerajaan di seluruh Asean
"Terus memainkan peranan kami sebagai rakan kongsi kewangan yang bertanggungjawab untuk memajukan pelanggan dan masyarakat dalam pasaran yang kami beroperasi," katanya.
Kedudukan modal kumpulan kekal kukuh dan melebihi sasaran dengan ekuiti tier 1 biasa (CET1) pada 18.2 peratus pada Jun 2024.
Jumlah nisbah modal berada pada 18.2 peratus pada Jun 2024.
Nisbah perlindungan kecairan (LCR) kekal selesa di atas keperluan peraturan sebanyak 100 peratus bagi semua entiti perbankan dalam kumpulan.
#ASEAN #CIMB #keuntungan bersih
;