CIMB 100 tahun: Perayaan seni, kejayaan dan komitmen masa depan

Amzar Alif
Disember 2, 2024 15:03 MYT
CIMB Group menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya dengan persembahan eksklusif bertajuk “Konsert CIMB 100 Years & More Kita Bagi Jadi”. - Gambar CIMB
DALAM sebuah acara bersejarah, CIMB Group menyambut ulang tahun ke-100 penubuhannya dengan persembahan eksklusif bertajuk “Konsert CIMB 100 Years & More Kita Bagi Jadi”.
Konsert berdurasi 100 minit ini menampilkan lebih 100 penggiat seni, menjadi simbol dedikasi CIMB terhadap seni, masyarakat, dan pembangunan bakat muda.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CIMB Group, Novan Amirudin, menyifatkan perayaan ini sebagai penghormatan kepada pelanggan, rakan kongsi, dan komuniti yang menjadi tunjang kejayaan CIMB selama satu abad.
“Kami bukan sekadar sebuah bank. Tujuan kami adalah untuk memajukan pelanggan dan masyarakat, memupuk keterangkuman, dan membawa perubahan bermakna dalam kehidupan mereka yang berada di sekeliling kami,” katanya.
Konsert ini mengetengahkan persembahan istimewa daripada Orkestra Muda Filharmonik Malaysia (MPYO) bersama ikon muzik tempatan seperti Datuk Zainal Abidin, Dayang Nurfaizah, Jaclyn Victor, Azlan Typewriter, Aina Abdul, Hael Husaini, Scha Nuril, pemenang CIMB Rising Start ASEAN dan bintang antarabangsa dari Indonesia, Cakra Khan.
Turut membuat penampilan di konsert ialah Datuk Azizulhasni Awang, Nadia Aqilah dan Tony Eusoff.
Sebagai persediaan, pemuzik muda MPYO telah menjalani latihan intensif di Akademi Nazir Razak, Bangi, dengan sokongan penuh CIMB dan MyCreative Ventures.
CIMB terus memperluas akses kewangan melalui Touch ‘n Go eWallet (TNG eWallet) yang kini digunakan oleh 20 juta pelanggan aktif sebagai dompet digital harian mereka.
“TNG eWallet telah membantu 500,000 pekerja asing tanpa akaun bank tempatan dan memainkan peranan penting semasa pandemik COVID-19 dengan membantu kerajaan menyalurkan bantuan kewangan kepada komuniti B40 melalui program e-Tunai dan e-Penjana,” tambah Novan.
CIMB turut menerajui perbankan Islam global, dengan CIMB Niaga Syariah yang kini menjadi bank Islam kedua terbesar di Indonesia, negara dengan populasi Muslim terbesar di dunia.
Selain itu, CIMB telah memanfaatkan pendekatan digital sepenuhnya di Filipina dan Vietnam melalui bekerjasama dengan syarikat e-dagang utama untuk memenuhi keperluan pelanggan.
Novan turut menegaskan komitmen CIMB untuk memupuk bakat di rantau ASEAN melalui pelaburan besar dalam pendidikan, seni, dan masyarakat.
“Dalam lima tahun terakhir, kami telah melaburkan lebih RM150 juta dalam pendidikan, sukan dan seni, untuk membantu setiap individu mencapai potensi penuh mereka, di samping mementingkan pemuliharaan alam sekitar,” katanya.
CIMB juga melabur dalam seni melalui acara tahunan seperti Artober, yang telah menyokong lebih 200 artis tempatan, dan biasiswa CIMB ASEAN Scholarship, yang telah membantu lebih 130 pelajar cemerlang.
Konsert malam ini turut mempersembahkan medley patriotik seperti “Tanah Pusaka” dan “Gemilang”, serta lagu-lagu klasik seperti “Seribu Impian” dan “Puteri Santubong”.
Dengan tema “Kita Bagi Jadi”, CIMB menegaskan visinya untuk terus menyokong masyarakat dan seni demi membina masa depan yang lebih baik.
“100 tahun. 100 penggiat seni. 100 minit. Ini lebih daripada sekadar sebuah konsert. Ia adalah perayaan kisah kami tentang kepelbagaian, kerjasama, cabaran, dan kejayaan bersama,” ujar Novan ketika mengakhiri ucapannya.
CIMB kini melangkah ke abad baharu dengan semangat untuk terus membawa perubahan bermakna di rantau ASEAN dan dunia.
#CIMB 100 Tahun #Konsert CIMB 100 Years & More Kita Bagi Jadi #Novan Amirudin #Orkestra Muda Filharmonik Malaysia MPYO
;