CIDB, MRT Corp tandatangani MoU, tingkat kualiti industri pembinaan

Astro Awani
Ogos 29, 2022 17:52 MYT
MoU ditandatangani Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir.Ahmad Asri Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, dan turut disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup. - Gambar Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Mass Rapid Transit Corporation (MRT Corp) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti industri pembinaan.
MoU merangkumi aspek pembangunan modal insan, kaedah dan teknologi pembinaan serta sistem penilaian kualiti, keselamatan dan kemampanan.
MoU ditandatangani Ketua Eksekutif CIDB, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim, dan turut disaksikan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Arthur Joseph Kurup.
Ahmad Asri berkata, sejak 2011, CIDB dan MRT Corp sering bekerjasama dalam melaksanakan pelbagai inisiatif dan aktiviti untuk pembangunan kompetensi serta penerapan amalan industri terbaik sektor pembinaan.
"Kerjasama dan kolaborasi CIDB dan MRT Corp bukanlah yang pertama, kita pernah tandatangani MoU 2013, dan kerjasama sebelum itu 2011.
"Kita telah banyak menumpukan inisiatif dari dulu lagi ke arah pematuhan kepada Akta 520 dan juga aspek pembangunan kontraktor dan pembangunan tenaga kerja dan penerapan amalan baik industri pembinaan," katanya semasa berucap pada majlis menandatangani MoU CIDB-MRT Corp di sini pada Isnin.
MoU itu juga antara lain, menetapkan bidang kerjasama CIDB dan MRT Corp dalam membangunkan modul latihan pembinaan infrastruktur untuk menghasilkan kakitangan binaan kompeten yang akan memenuhi keperluan projek-projek MRT Corp serta industri pembinaan keseluruhannya.
Ia juga akan melihat kedua-dua pihak bekerjasama untuk mempertingkatkan penggunaan teknologi baharu seperti Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling (BIIM) dalam pembinaan projek MRT Corp.
Selain itu, CIDB akan memberi latihan dalam penggunaan Sistem Penilaian Keselamatan dan Kesihatan di Tapak Bina (SHASSIC), Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC), Skim Penarafan Pengurangan Karbon dan Kemampanan Alam Sekitar Malaysia (MyCREST) dan Sistem Penilaian Kemampanan Alam Sekitar untuk projek-projek infrastruktur (Sustainable INFRASTAR).
#cidb #MRT #MoU #sektor pembinaan #kerjasama
;