China Export Pavillion tawar peluang perniagaan kepada Malaysia - Liow

Bernama
Mac 6, 2016 13:45 MYT
Tiong Lai (duduk) bergambar bersama warga Majlis Perabot Malaysia (MFC) ketika melawat ruang pameran selepas merasmikan Ekspo Eksport Perabot anjuran MFC di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
China Export Pavillion (CEP) yang menyertai Pameran Perabot Eksport Malaysia 2016 ke-12 di sini, membuka ruang perniagaan eksport Malaysia ke China, kata Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Beliau berkata ia merupakan peluang besar untuk industri terbabit, dengan eksport perabot Malaysia ke China mencatat pertumbuhan 42 peratus.
"Saya yakin CEP akan menyediakan momentum yang lebih kukuh pada masa depan memandangkan Malaysia merupakan negara anggota pertama ASEAN yang mewujudkan hubungan diplomatik dengan China, dan hari ini kita bangga menjadi rakan dagang terbesar China dalam ASEAN," katanya,
Tiong Lai berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pameran Perabot Malaysia 2016 yang berlangsung dari 5 hingga 8 Mac anjuran Majlis Perabot Malaysia di Kuala Lumpur Convention Centre.
Turut hadir Datuk Wee Jeck Seng, Pengerusi Majlis Perkayuan Malaysiadan Presiden Majlis Perabot Malaysia Chua Chun Chai.
Tiong Lai juga berkata sekarang merupakan masa untuk meneroka pasaran perabot dan mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam industri berkenaan.
"Malaysia kini mengeksport kira-kira RM8 bilion perabot setahun, dan merupakan pengeksport kelapan terbesar dunia bagi set bilik tidur dan ruang makan.
"Bagi mengekalkan kelebihan saingan ini, Malaysia mesti terus membangunkan kumpulan bakat tempatan bagi memperkukuh potensi penuh industri itu," katanya.
Tiong Lai berkata banyak potensi ekonomi yangh boleh diteroka oleh Malaysia selain industri perabot dan menggalakkan semua pengusaha industri dalam pelbagai sektor supaya memanfaatkan peluang dengan terlibat aktif dalam membangunkan negara.
Malaysia mesti membuka ruang untuk menjalin usaha sama ekonomi dan perdagangan melepasi industri perabot," katanya.
Sementara itu, Chua berkata eksport perabot Malaysia ke China pada 2014 meningkat kepada RM103.7 juta, dan pada 2015 eksport ke China meningkat 39.2 peratus kepada RM144.4 juta.
Kini China merupakan 10 negara utama eksport perabot Malaysia, katanya.
Chua juga berkata CEP akan menggalakkan peluang perniagaan dan rantaian sama-sama menang antara Malaysia dan China memandangkan ia mengetengahkan produk perabot kayu terbaik untuk pasaran China.
#China #China Export Pavillion #eksport #Liow Tiong Lai #Pameran Perabot Malaysia 2016