China dijangka 'selamatkan' ekonomi global sekali lagi - Penganalisis
Nabilah Khaleeda
Ogos 9, 2024 11:00 MYT
Ogos 9, 2024 11:00 MYT
KUALA LUMPUR: Hubungan kukuh antara Malaysia dan China dijangka dapat membantu mengurangkan impak kemelesetan ekonomi Amerika Syarikat.
Pengarah Urusan Capital Dynamics Asset Management Sdn Bhd Tan Teng Boo berkata, China bakal memperkenalkan dasar agresif bagi memperkukuh ekonominya sejajar perkembangan terkini di negara tersebut, selain sebagai persediaan menghadapi kemelesetan ekonomi global.
Oleh itu, penganalisis itu optimis bahawa ekonomi Malaysia akan kekal berkembang positif berbanding negara serantau seperti Filipina dan Korea Selatan, berikutan hubungan erat dengan China.
Beliau juga berpendapat, Bursa Malaysia KLCI mampu menamatkan tahun ini pada paras 1,600 mata dan ringgit antara 4.40 dan 4.50 berbanding dolar AS.
Menurutnya, risiko kemelesetan ekonomi Amerika dijangka mendorong perubahan dasar monetari terhadap ekonomi terbesar dunia itu.
Tan berkata, kemelesetan kali ini amat berbeza berbanding krisis sebelum ini, di mana ruang dasar mereka adalah terhad dan jangkaan pemotongan kadar faedah secara signifikan mungkin bermula tahun ini.
"Saya tidak akan terkejut jika Amerika Syarikat memotong kadar faedah ke hampir sifar sekali lagi," jelas beliau.
Mengulas lanjut, Tan berpandangan, Bank Negara Malaysia mungkin akan mengekalkan kadar dasar semalaman pada 3.00 peratus sehingga akhir 2024.
Ia bagi memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi mampan, sekiranya pemotongan kadar faedah Rizab Persekutuan Amerika berlaku tahun ini.
Sebelum ini, China berjaya menyelamatkan ekonomi global pada tahun 2009 dengan rangsangan fiskal besar-besaran dan sekali lagi pada tahun 2022 hingga 2023 ketika dunia dilanda kejutan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
"Saya sifatkan China sebagai negara penting kepada dunia termasuk Malaysia, bukan sahaja untuk perniagaan dan pelaburan tetapi juga untuk ekonomi dan dasar luar negara," tambahnya ketika ditemui di ibu negara pada Khamis.
Oleh itu, beliau menjangkakan China mungkin menyelamatkan ekonomi global untuk kali ketiga.
China telah menjadi rakan dagang terbesar Malaysia sejak tahun 2009, menyumbang 14 peratus daripada eksport.