Charms, UTHM jalin kerjasama penyelidikan
Farhana Joni
Februari 11, 2022 08:10 MYT
Februari 11, 2022 08:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pastinya setiap wanita mendambakan kulit yang lembut dan gebu hingga sanggup menghabiskan ratusan ringgit semata-mata ingin mendapatkan wajah yang cantik rupawan.
Kemunculan pelbagai barangan kosmetik di pasaran menambahkan lagi keinginan itu hingga terlupa untuk memeriksa terlebih dahulu kandungan dan kualiti produk tersebut.
Atas dasar tanggungjawab, produk kecantikan Charms menjalin kerjasama dengan Pusat Penyelidikan Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) bagi menjalankan analisa mengenai barangan anti penuan, komposisi kimia dan validasi halal terhadap kesemua produk jenama tersebut.
“Kajian dan analisa produk ini menelan kos lebih RM50,000 dan akan mengambil masa selama enam bulan bermula November lalu sebelum keputusan ujian dapat dikeluarkan.
“Pihak UTHM juga akan mengambil masa 18 bulan untuk menerbitkan jurnal berkaitan kajian ini selain memasuki pertandingan produk kosmetik di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Charms, Nur Bashirah Hussin.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerjasama dua hala itu selaras dengan saranan kerajaan untuk melahirkan tenaga mahir mencukupi yang sesuai dengan keperluan industri.
Katanya, menerusi kerjasama penyelidikan tersebut para pelajar UTHM berperanan sebagai pembantu penyelidik dan pengalaman itu boleh digunakan untuk membantu mereka selepas tamat pengajian.
Sementara itu Nur Bashirah memberitahu, beliau percaya setiap produk kecantikan perlu menjalani proses penyediaan di kilang yang mempunyai kelulusan Amalan Pengilangan Baik (GMP), Kementerian Kesihatan (KKM) serta lulus ujian makmal sebelum dipasarkan untuk kegunaan pengguna.
“Nasihat saya ini bukan kerana saya berniaga tetapi saya ingin mengingatkan semua pengguna supaya berhati-hati ketika membuat pilihan terhadap produk kecantikan, lebih-lebih lagi jenama yang menjanjikan perubahan dengan pantas atau 'sekelip mata'.
“Peliharalah kulit wajah yang dimiliki dengan sebaiknya dan jangan sesekali terpedaya menggunakan produk kosmetik tiruan kerana dibimbangi barangan itu tidak bersih ketika penyediaan serta bahaya pada kesihatan,” katanya.