CGS-CIMB turunkan harga sasaran Media Prima kepada 49 sen, Wow Shop dijangka jejaskan keuntungan suku ketiga

Dagang News
November 16, 2022 10:00 MYT
Media Prima turut berdepan dengan impak kadar cukai yang cukai lebih tinggi sebanyak 50% berbanding 30% sebelum ini, memandangkan kerugian daripada Wow Shop akan meningkatkan lagi kadar cukai gabungan kumpulan. - Foto DagangNews
KUALA LUMPUR: CGS-CIMB Research menyemak turun harga sasaran Media Prima Bhd. kepada 49 sen daripada 51 sen sesaham sebelum ini dengan saranan 'tambah' dikekalkan susulan prospek kumpulan yang dilihat suram.
Sejajar dengan semakan itu, ia mengurangkan unjuran pendapatan sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (FY22) hingga FY24 sebanyak 12 hingga 32% setelah mengambil kira kadar cukai yang lebih tinggi dan hasil iklan serta jualan membeli-belah di televisyen yang lebih rendah.
Penganalisisnya, Kamarul Anwar Kamaruddin menjangkakan keuntungan bersih teras Media Prima bagi suku ketiga susut sehingga 60% bagi suku ke suku kepada RM7.5 juta dengan hanya sedikit perubahan berbanding suku ketiga 2021 sebanyak RM7.7 juta.
Penurunan itu, katanya, terutamanya disebabkan kerugian lebih tinggi direkodkan Wow Shop berbanding RM11.5 juta pada suku kedua memandangkan jenama membeli-belah itu yang kebanyakan pelanggannnya adalah Melayu mula memperlahankan pembelian mereka selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
"Antara barang utama yang mencatat jualan tinggi di Wow Shop adalah seperti air fryer, basikal senaman dan barangan kemas. Dengan harganya yang tinggi, barang-barang seperti ini hanya dibeli sekali sahaja dan ia bertahan lama.
"Kami berpendapat rakyat Malaysia tidak akan mempertimbangkan untuk menggantikan peralatan dan perkakas besar di rumah kerana lebih banyak pendapatan mereka hari ini akan disalurkan kepada perbelanjaan harian, makanan dan pembayaran balik pinjaman," katanya dalam nota kajian hari ini.
Selain jualan membeli-belah yang lebih rendah, pertumbuhan pengiklanan di televisyen juga dijangka lesu pada FY23 memandangkan lebih banyak syarikat menahan perbelanjaan mereka berikutan senario ekonomi semasa.
Sebelum ini, firma itu mengaitkan pertumbuhan 5 hingga 7% tahun ke tahun untuk jualan iklan televisyen bagi 2023 hingga 2024, tetapi kini unjuran semasa melihat pada pertumbuhan 5% tahun ke tahun untuk bagi 2023 dan 2024.
"Kami mengunjurkan jualan Wow Shop akan menurun sebanyak 50% bagi tahun ini berbanding 10% tahun ke tahun sebelum ini.
"Untuk 2023 pula, ia dijangka susut lagi 10% tahun ke tahun (berbanding peningkatan 5% yang dianggarkan sebelum ini)," katanya.
Media Prima turut berdepan dengan impak kadar cukai yang cukai lebih tinggi sebanyak 50% berbanding 30% sebelum ini, memandangkan kerugian daripada Wow Shop akan meningkatkan lagi kadar cukai gabungan kumpulan.
Pada suku pertama hingga kedua 2022, kadar cukai yang ditanggung kumpulan adalah sekitar 32.7 hingga 63.7%.
Menurut Kamarul Anwar, terdapat juga risiko bahawa pilihan raya umum ke-15 (PRU15) tidak membantu jualan iklannya pada suku keempat ini.
"Kami tidak melihat mana-mana iklan parti politik disiarkan ketika rehat komersial program Buletin Utama, yang kebiasaannya menawarkan kadar iklan paling tinggi.
"Apa yang kami bimbangkan, iklan politik sama ada menerusi media cetak atau digital di bawah Media Prima tidak bergerak," jelasnya.
Beliau juga memberi amaran mungkin terdapat kelemahan terhadap harga saham Media Prima selepas pengumuman prestasi kewangan bagi suku ketiga. - DagangNews.com
#media prima bhd #cukai #iklan #harga sasaran
;