CGC sedia RM400 juta pembiayaan perniagaan untuk PKS
Bernama
April 10, 2014 19:47 MYT
April 10, 2014 19:47 MYT
Credit Guarantee Corp (M) Bhd (CGC) dijangka menyediakan pembiayaan kira-kira RM400 juta kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) pada tahun ini di bawah jaminan borong untuk pembiayaan perniagaan tidak bercagar.
Jaminan berkenaan akan membantu mengurangkan risiko, meningkatkan kapasiti pinjaman dan sesuai bagi pembangunan perniagaan pembiayaan PKS tidak bercagar di negara ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Wan Azhar Wan Ahmad berkata, beliau yakin lebih banyak bank akan meneroka pembiayaan tidak bercagar ini memandangkan ia menyediakan kelebihan baru bagi industri perbankan.
Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd dan OCBC Al-Amin Bank Bhd hari ini menandatangani jaminan borong PKS pertama di negara ini, yang menandakan perkembangan penting dalam pembangunan usaha pembiayaan perniagaan tidak bercagar Malaysia.
Jaminan itu, yang melibatkan tranche permulaan sebanyak RM250 juta daripada portfolio PKS tidak bercagar sedia ada OCBC Al-Amin, akan menyaksikan nisbah risiko yang terlibat dalam perniagaan pembiayaan dikongsi sama rata antara CGC dan OCBC Al-Amin bagi tempoh jaminan lima tahun.
"Kami masih dalam perbincangan dengan bank-bank lain untuk meneroka pembiayaan tidak bercagar ini tetapi akan ia mengambil masa, kerana kita perlu membincangkan ciri-ciri produk kerana berbeza antara satu bank dengan yang lain dari segi harga.
"Bagaimanapun, saya tidak boleh mendedahkan bank mana yang sedang berbincang dengan kami sekarang ini.
"Tetapi, kami mempunyai beberapa bank bagi produk ini," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian jaminan borong itu yang disaksikan oleh Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia Bakaruddin Ishak.
Perjanjian itu membabitkan CGC dan OCBC Al-Amin berkongsi risiko sama rata selama lima tahun.
Wan Azhar berkata, produk itu adalah yang pertama seumpamanya kerana sebelum ini keseluruhan risiko tertumpu kepada bank-bank semata-mata.
"Dengan memanfaatkan portfolio PKS tidak bercagar sedia ada OCBC Al-Amin, kami yakin dapat memenuhi sasaran itu," katanya.
Melalui produk baru ini, institusi kewangan akan dapat melepaskan modal di samping mengurangkan risiko, katanya.
Wan Azhar berkata, syarikat menerima banyak pertanyaan dari Timur Tengah berkenaan pewujudan sistem jaminan yang sama di negara mereka.
"Mereka berminat untuk mengadakan kerjasama antara Malaysia dan negara-negara di Timur Tengah. Oleh itu, kami bercadang meneroka kemungkinan melakukannya sekarang ini, "katanya.