CGC jalin kerjasama dengan AKPK tingkatkan literasi kewangan PMKS
Bernama
Jun 1, 2022 12:45 MYT
Jun 1, 2022 12:45 MYT
KUALA LUMPUR: Credit Guarantee Corp Malaysia Bhd (CGC) dan Agensi Kaunseling Pengurusan Kredit (AKPK) memeterai memorandum persefahaman (MOU) untuk meningkatkan literasi kewangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta individu.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat itu berkata kerjasama itu membolehkan CGC merujuk pelanggan PMKS ke kursus e-pembelajaran, bengkel dan webinar AKPK mengenai topik yang berkaitan dengan literasi kewangan dan pengurusan kewangan.
"Pelanggan PMKS CGC juga akan dirujuk kepada AKPK untuk inisiatif pengurusan hutang.
"Pada awal tahun ini, CGC mula merujuk pemohon pembiayaan BizMikro-i untuk menghadiri kursus e-pembelajaran AKPK iaitu Bijak Wang Bijak Niaga.
"Ini juga adalah sebahagian daripada perkhidmatan nasihat di bawah Program Pembangunan CGC yang membantu PMKS," kata kenyataan itu.
Ia berkata kerjasama ini selaras dengan visi Bank Negara Malaysia iaitu Strategi Kebangsaan Jaringan Pendidikan Kewangan (FEN), yang bertujuan untuk meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
"Pelanggan AKPK yang berminat dengan pembiayaan PMKS juga berpeluang memanfaatkan portal imSME CGC, iaitu platform rujukan pembiayaan/pinjaman PKS dalam talian yang pertama di Malaysia yang memberi akses untuk mendapatkan pembiayaan daripada CGC dan juga institusi-institusi kewangan lain seperti institusi pembangunan kewangan, dan pembiaya alternatif.
"Mereka juga berpeluang untuk mengambil bahagian dalam Program Pembangunan CGC, iaitu program serampang dua mata yang menyediakan perkhidmatan nasihat untuk Akses Pembiayaan dan Akses Pasaran," katanya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CGC Datuk Mohd Zamree Mohd Ishak berkata sinergi yang kuat antara CGC dan AKPK akan membantu orang ramai dari segi pendidikan kewangan dan menyokong aspirasi mereka sekiranya mereka bercita-cita untuk menjadi usahawan.
"CGC percaya peningkatan kemahiran dan kerjasama ini akan membolehkan pelanggan PMKS memanfaatkan kursus e-pembelajaran, bengkel dan webinar AKPK mengenai literasi kewangan, serta inisiatif pengurusan hutang," katanya.
Mohd Zamree juga menyatakan bahawa kerjasama menang-menang itu akan membantu mempromosikan literasi kewangan dan memperkasakan agenda penting FEN dalam membantu rakyat Malaysia meningkatkan pengetahuan kewangan mereka dan membina asas yang kukuh untuk masa depan kewangan negara.
Sementara itu, CEO AKPK Azaddin Ngah Tasir berkata kerjasama ini memberi peluang kepada agensi itu untuk meluaskan jangkauan dan menawarkan penyelesaian kepada pelanggan CGC dan sebaliknya.
-- BERNAMA