Ceritalah - Ekonomi gig: Bom jangka yang sedang berdetik

Karim Raslan
Oktober 14, 2019 14:59 MYT
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, mengadakan dialog dengan penghantar makanan Foodpanda pada 1 Oktober 2019. Pasukan Ceritalah

EKONOMI gig adalah kapitalisme pada tahap yang paling teruk. Setiap orang mahu mewujudkan 'unicorn' seterusnya - menjejaskan perniagaan konvensional pada skala global, seperti Airbnb dan Netflix.

Bagaimanapun, bakal-bakal juara seringkali berakhir seperti WeWork, yang mana tawaran awam permulaannya (IPO) tergendala pada Ogos susulan anggaran penilaiannya jatuh 75 peratus dari ASD40 bilion ke ASD10 bilion, memalukan Adam Neumann, pengasasnya yang berambut panjang dan menghisap ganja. Menurut laporan media baru-baru ini, syarikat yang dulunya sentiasa kerugian wang kini berdepan keruntuhan tunai.
Foodpanda, sebahagian syarikat kumpulan tersenarai awam Jerman, Delivery Hero, sedang menghadapi cabaran di Malaysia - suatu pasaran yang mengikut Pengarah Urusan tempatannya, Sayantan Das, telah mendominasi 92 peratus perkongsian pasaran pada Jun 2018.
Asasnya, perkhidmatan penghantaran makanan itu kini cuba untuk meminda terma-terma bayarannya dengan para penghantar makanannya. Perkara ini membawa kepada tindakan mogok dan juga penelitian kerajaan dari pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad yang telah berikrar untuk memberi fokus pada 'kemakmuran bersama.'
Kontroversi itu menyerlahkan gejolak ekstrem ekonomi gig.
Pasukan Ceritalah menghadiri satu dialog yang berlangsung dalam keadaan emosional antara penghantar makanan Foodpanda dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Muhammad Hajid, seorang pelajar berusia 19 tahun yang kurus dan peramah, adalah salah seorang yang hadir di kediaman menteri itu. Dia menjadi pekerja separuh masa sejak Disember 2018 lalu. Beliau berharap pendapatannya dapat membiayai yuran pengajiannya dan membantu ibunya, seorang ibu tunggal.
Pada mulanya, semua berjalan dengan baik. Lagipun, dia mendakwa bahawa pada September lalu -- ketika cuti semesternya -- dia memperoleh pendapatan RM3,000. Ia hasil kerja keras. Hajid bekerja sehingga 28 syif dalam satu bulan (315 jam), membuat 311 penghantaran.
"Saya merancang untuk buat kerja ini sepenuh masa kerana bayarannya lumayan," akui Hajid.
Dengan pindaan terbaru ini, Hajid kurang yakin mengenai masa depannya. Mengapa? Foodpanda telah menghapuskan kadar jam tetap dan menggantikannya dengan kadar bayaran lebih tinggi mengikut kali hantaran. Ini bagaimanapun membawa kepada keadaan tidak menentu. Hajid juga berpendapat bahawa pendapatannya akan jatuh.
Menurut Hajid, penghantar makanan baharu kini perlu membayar beg penghantaran Foodpanda mereka sendiri. Ketika dia menyertainya dahulu, beg itu diberi percuma. Tambahan RM160 mungkin nampak kecil (ia ditolak dari pendapatan bulanannya) tetapi pemindahan kos kepada penghantar makanan itu mungkin merupakan satu tanda persaingan yang semakin meningkat dalam pasaran Malaysia.
Lagipun, sejak Mei 2018, syarikat penyedia perkhidmatan seru pandu yang mempunyai dana kukuh, Grab, telah turut melakukan penghantaran makanan.
Ini adalah satu konflik antara gergasi, berebut merentas medan pertempuran di pelbagai negara, dan umumnya menggunakan wang orang lain.
Grab dianggarkan bernilai ASD14 bilion. Kumpulan itu telah memperolehi tambahan ASD14 bilion lagi dalam pendanaan baharu tahun ini. Sementara syarikat induk Foodpanda, Delivery Hero telah disenaraikan di pasaran saham Frankfurt pada 2017 lalu (IPO terbesar tahun itu di Jerman) dengan pemodalan pasaran sekitar ASD8.4 bilion.
Peliknya, penunggang motosikal bekerja menurut terma kontrak amat berbeza di Asia Tenggara. Tidak ada peraturan asas -- tetapi kelihatannya insurans perubatan dan kemalangan kalau ada pun ia tidaklah jelas.
Namun begitu, di Filipina - pasaran dengan saiz tiga kali ganda Malaysia - GrabFood jelas merupakan satu langkah pengembangan yang bercita-cita tinggi. Mary France Pascua Bal'ot, wanita berusia 32 tahun yang menyara ibunya, memperoleh bayaran tempahan, pampasan sekilometer dan juga 20 peratus daripada harga tempahan. Terma-terma ini kelihatan lumayan apabila dibandingkan dengan apa yang ditawarkan di Malaysia dan malah Indonesia.
Di Vietnam, perkiraannya adalah lebih ringkas dan lebih lumayan. Pada masa ini, Grabfood membayar 60 peratus daripada saiz pesanan.
Di Indonesia, selepas pertelingkahan yang agak besar, pihak berkuasa terpaksa masuk campur tangan. Mereka dipaksa menghentikan perang diskaun yang membunuh diri antara dua 'decacorn', Gojek dan Grab.
Menariknya, Foodpanda ditutup di Indonesia pada 2016. Malah, kelihatannya perkhidmatan penghantaran makanan tunggal adalah rapuh dalam pasaran di mana perkhidmatan panggilan motosikal mendominasi.
Bagi Gojek, penghantaran makanan adalah hanya salah satu daripada tawaran perkhidmatannya. Malah CFO syarikat pemula Indonesia itu, Andre Soelistyo, menyatakan bahawa mereka adalah perkhidmatan penghantaran makanan atas talian kedua terbesar di dunia, di luar China, dengan lebih 15 juta hidangan dihantar sejak penubuhannya.
Dengan pihak berkuasa Malaysia pada masa ini sedang menimbangkan kemasukan aplikasi panggilan motosikal, GoJek, masa depan adalah kurang menarik bagi Foodpanda.
Penghantar makanan perlu sedar bahawa mereka hanyalah jeriji kecil dalam persaingan global antara gergasi-gergasi bermodal besar.
Grab, Gojek dan Delivery Hero akan mengubah strategi dan sumber di antara pasaran dengan sewenang-wenangnya.
Malah, ahli politik dan kerajaan juga seringkali terperangkap dengan kepesatan perubahan-perubahan ini.
Sesuatu yang sangat tidak bijak bagi anak muda seperti Muhammad Hajid untuk cuba mempunyai kerjaya jangka panjang dalam ekonomi gig ini.
Terma bayaran, komisyen, bonus akan terus berubah-ubah, malah boleh hilang terutama apabila dron menjadi lebih canggih dan dapat dipercaya!
Ingat, kesemuanya adalah tentang wang.


* Ikuti Karim Raslan di Twitter @fromKMR / Instagram @fromkmr

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.

#Ceritalah #ekonomi #FoodPanda #Karim Raslan #Kolumnis AWANI
;