CEO Star Media Group Andreas Vogiatzakis letak jawatan
Umavathi Ramayah
Mei 13, 2020 16:10 MYT
Mei 13, 2020 16:10 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Star Media Group, Andreas Vogiatzakis dilaporkan meletak jawatan setelah sembilan bulan memegang jawatan itu.
Laporan Portal The Edge Markets yang memetik sumber menyatakan, Vogiatzakis memaklumkan pihak pengurusan kanan kumpulan media tersebut mengenai keputusan itu pagi tadi.
"Pengumuman rasmi akan dibuat tidak lama lagi," kata sumber tersebut.
Vogiatzakis mengambil alih jawatan Ketua Pegawai Eksekutif pada 13 Ogos 2019, setelah hampir lapan bulan jawatan itu dibiarkan kosong susulan persaraan Datuk Seri Wong Chun Wai, sebagai pengarah urusan dan CEO kumpulan pada 1 Januari 2019.
Beliau merupakan veteran dalam industri periklanan, dan merupakan ekspatriat pertama yang mengetuai Star Media.
Dilahirkan di Crete, Greece, Vogiatzakis memulakan kariernya di DMB&B di New York selepas menamatkan pengajian di Universiti Florida.
Sebelum ini, Vogiatzaki pernah memegang jawatan yang sama di Havas Media Group dari Ogos 2016 hingga Jun 2019.