CEO CIMB Islamic Bank letak jawatan
Astro Awani
Julai 14, 2015 23:33 MYT
Julai 14, 2015 23:33 MYT
CIMB Group Holdings Bhd hari ini mengumumkan Badlisyah Abdul Ghani akan meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) CIMB Islamic Bank, berkuatkuasa 15 Ogos.
Menurut kenyataan CIMB Islamic Bank kepada Bursa Malaysia, ia memilih Mohd Shafri Shahul Hamid sebagai orang yang bertanggungjawab terhadap bank itu dan bersetuju supaya Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan kumpulan memulakan proses mengenal pasti CEO baharu untuk bank berkenaan.
"Kami menghormati keputusan Badlisyah," kata Pengerusi CIMB Islamic Bank Datuk Dr Syed Muhammad Syed A Kadir, sepertimana dilaporkan Bernama.
Sementara itu, portal The Edge Markets melaporkan peletakan jawatan Badlisyah ada kaitan dengan kenyataan yang dibuatnya di sebuah laman sosial berhubung dokumen melibatkan transaksi dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Badlisyah baru-baru ini dilapor telah memberi kenyataan di akaun Facebook bahawa dokumen perbankan yang didakwa The Wall Street Journal sebagai transaksi dana 1MDB sebanyak AS$700 juta (RM2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi perdana menteri Datuk Seri Najib Razak, adalah palsu.
Beliau yang juga Presiden Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia mendakwa antara lain kod Swift pada dokumen itu tidak sepadan dengan dokumen asal dari Wells Fargo Bank di New York.
Bagaimanapun, pada hari sama, Badlisyah mengeluarkan kenyataan media dan mengaku kesalahan pada analisis dokumen dan pendapat yang dikeluarkan pada akaun Facebook itu hanya pendapat peribadi.
Pada posting Instagram 8 Julai 2015, Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak telah meminta maaf dan berkata Badlisyah tidak sepatutnya memberi sebarang komen ke atas dokumen itu memandangkan ia adalah perkara teknikal.
Tambah Nazir, CIMB akan menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara itu.