CEO Blackberry: iPhone sudah ketinggalan zaman

Astro Awani
Mac 22, 2013 04:36 MYT
iPhone keluaran Apple Inc sudah ketinggalan zaman, menurut ketua pegawai eksekutif BlackBerry, Thorsten Heins.
Menurut Heins dalam satu laporan Associated Press (AP), kekurangan inovasi oleh Apple membuatkan produk iPhone kini ketinggalan.
“Pengguna iPhone yang keluar masuk aplikasi pada telefon pintar itu tidak membolehkan fungsi yang lebih meluas seperti BlackBerry Z10,” kata Heins dalam laporan AP tersebut.
Heins membuat komen itu hari ini menjelang pelancaran edisi terbaru telefon pintar skrin sesentuh BlackBerry di Amerika Syarikat (AS).
Heins berkata bahawa versi papan kekunci BlackBerry bagaimanapun hanya akan dikeluarkan dua atau tiga bulan dari sekarang.
Kedua-dua telefon pintar skrin sesentuh dan model papan kecunci adalah sebahagian daripada usaha BlackBerry untuk kembali semula di persada persaingan telefon pintar selepas Apple mengeluarkan iPhone pada 2007.
Model BlackBerry Z10 telah memasuki pasaran Malaysia sejak awal bulan Mac.
Kini ia boleh didapati melalui syarikat telekomunikasi Maxis Bhd, dengan harga runcit RM2,188.
#AP #Apple #Associated Press #BlackBerry #Blackberry Z10 #iPhone #Thorsten Heins