CEO baharu Maybank mahu tumpu pengembangan serantau
Bernama
Ogos 3, 2013 10:06 MYT
Ogos 3, 2013 10:06 MYT
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif baharu Maybank Datuk Abdul Farid Alias berkata beliau mahu menumpu mengembangkan operasi bank itu di Asia Tenggara.
Beliau berkata Thailand merupakan pasaran yang sangat menarik dan berpotensi meningkatkan sumbangan keuntungan luar negara kepada 40 peratus pada 2015 daripada 30 peratus ketika ini kepada kumpulan.
"Sumbangan luar negara tidak akan mencapai 40 peratus pada 2015 melainkan kami membuat pengambilalihan, tidak semestinya di Thailand. Bagaimanapun, meskipun kami adalah agensi pembrokeran terbesar di Thailand (menerusi Maybank Kim Eng), kehadiran perbankan perdagangan kami tidak sekukuh itu.
"Kami menyasar mencari jalan, terma-terma yang boleh diterima kami daripada perspektif nilai dan saiz (tentang kemungkinan pengambilalihan di Thailand). Thailand adalah pasaran yang besar dan jelas sekali pasaran yang amat, amat menarik," katanya dalam ucapan pertamanya selepas pelantikan beliau diumumkan hari ini pada satu sidang media.
Abdul Farid berkata beliau akan membuat kenyataan lebih lanjut tentang rancangannya semasa pengumuman keputusan suku kedua bank itu pada 21 Ogos.
Mengenai pelantikannya, CEO yang baru dilantik itu berkata: "Saya telah benar-benar bersedia sejak proses (pemilihan) bermula...ia satu kelegaan," katanya sambil menambah beliau dimaklumkan mengenai pelantikan itu pada 11 pagi hari ini.
Tugas dan tanggungjawab beliau sebelum ini akan diambil alih oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Investment Bank Tengku Datuk Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata bank itu amat gembira dengan pilihan tersebut kerana Abdul Farid menepati kriteria apa yang dicari oleh bank terbesar Malaysia itu dan percaya ketua baharu itu akan dapat membawa bank tersebut ke peringkat yang lebih tinggi.