CEO baharu FGV lalui hari yang sibuk - Penganalisis

Bernama
Januari 30, 2019 05:45 MYT
Bekas pengarah MRT Corp ini mungkin menjejaskan popularitinya berkhidmat di syarikat baharu itu, namun semua ini adalah untuk kebaikan FGV. - Facebook @Haris Fadzilah Hassan
Penganalisis melihat ketua pegawai eksekutif FGV Holdings Bhd yang baharu dilantik, Datuk Haris Fadzilah, akan menjalani hari-hari yang sibuk untuk mengurus operasi syarikat perladangan itu bagi memastikan operasinya berjalan lancar.
Dalam usaha itu, bekas pengarah Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) itu mungkin menjejaskan popularitinya berkhidmat di syarikat baharu itu, namun semua ini adalah untuk kebaikan FGV.
"FGV memerlukan pembaharuan, terutama dari segi pengurusan hutang. Harga komoditi yang rendah tidak membantu keadaan.
"Kami menjangkakan keutamaan pengurusan baharu adalah untuk mengurangkan kadar hutangnya dan memastikan kedudukan kewangannya sihat," kata seorang penganalisis perladangan kepada Bernama.
Beliau berkata pada masa ini, pulangan hasil di kebanyakan ladang FGV, adalah antara yang paling rendah di negara ini.
"Dengan proses penanaman semula memerlukan lebih banyak dana, kami berpendapat perlunya satu pusingan pengumpulan modal dalam pasaran dilakukan.
"Berhubung tempoh masa pemulihan dua tahun, kami melihat ia mencukupi jika faktor luaran kekal positif," kata penganalisis berkenaan.
Beliau menjelaskan harga minyak sawit mentah (MSM) telah menyusut mendadak sejak kebelakangan ini, dan dengan publisiti negatif yang menjejaskan sentimen permintaan ke atas minyak sawit di negara-negara Eropah, ini boleh menjejaskan usaha pemulihan.
Kesukaran semasa ini mendorong pengeluar MSM seperti FGV mencari pasaran baharu.
"Secara menyeluruh, kami menaruh keyakinan ke atas Datuk Haris, dan dengan pengalamannya yang luas dalam industri ini, beliau dapat menyumbang kepada syarikat perladangan itu walaupun menempuh cabaran yang semakin meningkat".
Sebelum MRT Corp, Haris juga berkhidmat dalam industri perladangan dalam pelbagai jawatan utama termasuk sebagai ketua strategi dan pembangunan perniagaan di Golden Hope Plantations Bhd dan ketua operasi hiliran di Sime Darby Plantation Bhd.
Sementara itu, seorang peniaga kanan di Interband Group of Companies Jim Teh berkata CEO baharu mungkin perlu mengecilkan bilangan pekerjanya yang kini dilihat berlebihan.
"Saya berpendapat terlalu ramai pekerja dalam organisasi itu. Ini tidak bermakna jika anda berkerja dalam sesebuah organisasi itu untuk tempoh yang terlalu lama, anda dianggap baik ... ia mungkin kerana anda tahu semua kelemahan.
"Dan ada yang mendapat lebih banyak daripada apa yang mereka sepatutnya terima, seperti gaji berjumlah RM150,000 sebulan, yang jauh lebih tinggi daripada gaji perdana menteri," katanya.
Beliau berkata lebihan dalam skop kerja terutama di jabatan pemasaran dapat dikurangkan, yang sekali gus akan menjimatkan FGV.
"Masa adalah intipati. Sudah tentu orang mahu melihat hasil yang cepat dan mereka juga patuh pada integriti.
"Oleh itu, mulakan proses penjimatan sekarang dan kita akan melihat harga sahamnya meningkat," katanya.
Minggu lepas, FGV, dalam makluman kepada Bursa Malaysia mengumumkan pelantikan Haris sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baharu berkuat kuasa 22 Jan.
Sebelum itu, FGV melantik Datuk Mohd Hairul Abdul Hamid sebagai ketua pegawai kewangan kumpulan mulai 2 Jan, Mazri Abdul Rahim sebagai ketua pegawai sumber manusia (19 Nov 2018) dan Dr Christina Ooi Su Siang sebagai ketua pegawai perolehan (15 Jan) .
Tahun lepas, FGV menjadi tumpuan atas sebab yang tidak sepatutnya, dengan sahamnya hampir tidak menjadi pilihan pelabur berikutan publisiti buruk yang melanda syarikat itu.
Pengerusinya Datuk Azhar Abdul Hamid mengambil alih sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sementara selepas jawatan itu dikosongkan oleh Datuk Zakaria Arshad, yang meletak jawatan pada 18 Sept, hanya enam hari selepas dia digantung dan dilucutkan semua tugasnya selepas tamatnya siasatan dalaman FGV ke dalam 10 isu kritikal.
Ia merupakan penggantungan kedua Zakaria dalam tempoh 15 bulan.
FGV menyaksikan sahamnya jatuh dalam sebahagian besar tahun 2018 berikutan kontroversi yang dilaluinya, memaksa ia menjalani pelan pemulihan.
Pada 16 Januari tahun lepas, saham FGV berharga RM2.05 sesaham dan menjunam 66.97 peratus kepada paras terendah pada 71.5 sen pada 28 Dis.
Sahamnya kembali meningkat kepada 94.5 sen pada 16 Jan tahun ini selepas Azhar mengeluarkan surat memaklumkan pemegang saham mengenai status syarikat dan pelan masa depannya.
Semalam (29 Jan) saham FGV ditutup pada RM1.01.
Surat Azhar, antara lain, mengetengahkan bahawa sasaran tandan buah segar FGV sebanyak 16.9 tan sehektar (ha) pada 2018 dan 19.43 tan metrik pada tahun ini serta anggaran keuntungan sebelum cukai sebanyak RM1 bilion setahun pada harga purata MSM RM2,500 setan.
Penganalisis penyelidikan berpendapat tempoh terburuk untuk FGV sudah berakhir.
Syarikat perladangan yang mencatat kerugian itu dalam tindakan 'membersihkan syarikat' telah memulakan pelan pemulihan yang akan dipantau oleh dua pengarah bebas dan seorang pegawai transformasi.
Mereka menjangkakan syarikat itu akan kembali menguntungkan berdasarkan pelan sasaran itu.
Bagaimanapun seorang veteran terkemuka dalam perladangan ketika dihubungi Bernama berkata walaupun gambaran jangkaan yang baik, namun mustahil FGV dapat memenuhi sasaran dua tahunnya berdasarkan profil umur pokok sawitnya.
"Masalah FGV berkemungkin berpunca daripada kadar penanaman semula yang tinggi pada masa lalu, jadi ada pokok masih belum mengeluarkan hasil dan sebahagian lagi masih perlu ditanam semula, iaitu pokok tua.
"Justeru pokok tua tidak dapat mengeluarkan hasil yang lebih tinggi, dan akan mengambil sedikit masa untuk merasionalisasi semula pokok muda dan menanam semula pokok tua," katanya.
FGV katanya mungkin memerlukan lebih dari dua tahun untuk melihat pelan pemulihannya berjaya.
Secara keseluruhannya, beliau menyuarakan harapan bahawa industri perladangan akan menyaksikan pemulihan pada 2019, sekali gus meningkatkan harga saham tempatan dalam sektor berkenaan.
-- BERNAMA
#FGV #FGV Holdings #haris fadzilah #kewangan #operasi
;