CelcomDigi timbang beberapa pilihan selepas tidak terpilih untuk Rangkaian 5G Kedua
Amanz
November 4, 2024 09:10 MYT
November 4, 2024 09:10 MYT
CELCOMDIGI mengatakan pihaknya sedang pertimbangkan beberapa pilihan dalam tangan selepas tidak terpilih untuk pembangunan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.
Kenyataan ini dibuat selepas Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia memilih U Mobile untuk membangunkan Rangkaian 5G Kedua Malaysia.
CelcomDigi berkata, mereka percaya telah mempersembahkan cadangan teknikal dan komersial yang terbaik untuk pembangunan rangkaian 5G kedua – selari dengan kedudukan kewangan, serta rekod pelaburan mereka dalam pembangunan rangkaian, termasuk menyediakan kualiti perkhidmatan yang baik kepada rakyat.
CelcomDigi turut mengatakan mereka berupaya untuk membangunkan rangkaian di seluruh negara, serta-merta selepas penawaran spektrum.
Di samping itu, CelcomDigi turut ingin memastikan para pelanggan mereka mempunyai akses kepada rangkaian 5G yang efisien pada kadar berpatutan.
Ia turut ditekankan para pelanggan CelcomDigi akan terus dapat menikmati rangkaian 5G seperti biasa, sepanjang hari.