Celcom tambah baik pelan pascabayar, tawar lebih penjimatan
Ehsan A Marisah
September 15, 2022 14:19 MYT
September 15, 2022 14:19 MYT
KUALA LUMPUR: Syarikat telekomunikasi, Celcom Axiata Berhad (Celcom) menambah baik pelan pascabayarnya bagi memenuhi pelbagai jenis keperluan internet untuk keluarga pelbagai saiz dengan memberikan kuota internet, pilihan terluas dan pelbagai peranti percuma serta pelan semua dalam satu pelan, iaitu Home Fibre dan Pascabayar.
Celcom dalam satu kenyataan memaklumkan, pihaknya memperbaharui pelan Pascabayar dan Fibre bagi memenuhi keperluan pelajar, pekerja yang baharu memulakan pekerjaan dan keluarga dengan memberikan nilai terbaik, mengikut kesesuaian keperluan mereka.
“Pelan MEGA™ dan Xpax Postpaid™ Celcom telah ditambah baik untuk memberi lebih banyak pada harga yang lebih murah, dengan memberikan lebih banyak kuota pada harga yang sama.
“Bagi Pelan pascabayar MEGA™ Lightning Family Celcom, ia ditambah baik dengan tambahan kuota internet sebanyak 10GB hingga enam Talian Keluarga serta minimum dua Talian Keluarga, pelanggan akan menikmati rebat sebanyak RM20 (diskaun 50 peratus) untuk setiap Talian Keluarga selama enam bulan,” kata kenyataan itu, pada Selasa.
Dalam pada itu, kenyataan tersebut menambah, Celcom Xpax Postpaid™ 40 pula menawarkan 20GB dengan harga yang sama untuk kuota internet berganda manakala Celcom Xpax Postpaid™ 60 menawarkan 40GB kuota internet berkelajuan tinggi.
“Samsung Galaxy A03 percuma, kuota internet tambahan sebanyak 5GB apabila mendaftar dan akses tanpa had untuk YouTube, Instagram, WhatsApp dan Facebook,” jelasnya.
Di samping itu, menurut kenyataan itu, pelanggan Celcom yang inginkan Talian Keluarga yang berpatutan serta kesalinghubungan internet tanpa sebarang kebimbangan untuk kediaman mereka, pihaknya menawarkan pelan konvergen berpatutan dengan internet tanpa had berkelajuan tinggi sehingga 100Mbps, 300Mbps atau 500Mbps.
“Pelan pascabayar dan fiber semua dalam satu merangkumi penjimatan seumur hidup sebanyak RM191 sebulan dan sehingga enam Talian Keluarga, dengan Internet Tanpa Had pada harga RM20 untuk setiap talian.
“Selain kesalinghubungan internet Home Fibre PERCUMA apabila melanggan dua pelan Celcom MEGA™ Unlimited pada harga RM158 untuk setiap satu,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaannya, Chee Loo Fun berkata, pihaknya sentiasa menginovasi produk dan perkhidmatan dengan penawaran mampu milik dengan penjimatan terbaik kepada seluruh rakyat.
“Permintaan terhadap pengalaman internet terus meningkat secara berbeza untuk setiap isi rumah atau individu.
“Celcom ketahui perkara ini dan akan menambah baik pelan pascabayar dengan tawaran yang tiada tandingan. Tambahan pula, kami juga menawarkan penjimatan hebat kepada keluarga Malaysia untuk memiliki telefon pintar serba baharu, termasuk peranti terkini yang menyokong rangkaian 5G,” ujarnya.
Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari https://www.celcom.com.my/personal/postpaid