Celcom sasar pertumbuhan satu angka perolehan setahun menerusi Escape
Bernama
Ogos 22, 2013 07:57 MYT
Ogos 22, 2013 07:57 MYT
Celcom Axiata Bhd mengunjurkan perolehannya meningkat antara lima peratus hingga enam peratus setahun menerusi pelancaran khidmat ruang hiburannya, Escape.
Escape ialah perkhidmatan yang disediakan oleh Escape Axiata Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh Celcom.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Shazalli Ramly berkata penyedia telekomunikasi itu juga menjangkakan pertumbuhan 15 peratus pelanggan baharu daripada 14 juta sedia ada.
"Escape khususnya untuk pengguna Celcom seperti Xpax dan Celcom First dan rakan usaha sama MVNO (Operator Rangkaian Maya Mudah Alih).
"Buat permulaan, kami menyasarkan semua pengguna Celcom dapat menggunakan perisian ini pada 1 September," katanya kepada pemberita selepas pelancaran itu di sini Khamis.
Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.
Shazalli berkata Escape juga akan dilancarkan untuk anak syarikat Axiata Group di Asia, bermula di Sri Lanka, pada akhir tahun ini.
Escape membolehkan pelanggan menikmati pelbagai bentuk kandungan, menerbitkan, menghasilkan dan menyediakan pakej barisan gaya hidup mudah alih digital.
Kandungannya meliputi format kandungan jangka panjang dan pendek bagi memenuhi kehendak hiburan pengguna mudah alih moden, dan pengguna boleh menyaksikan dan membeli filem dan kandungan lain menerusi mana-mana peranti yang mempunyai sambungan Internet.