Celcom dan Ericsson bawa 5G ke Malaysia

Bernama
Mei 18, 2017 07:36 MYT
Teknologi telekomunikasi negara dijangka berevolusi ke tahap baharu secara keseluruhannya apabila Celcom Axiata Bhd dan Ericsson hari ini melaksanakan ujian pertama 5G Malaysia.
Teknologi telekomunikasi negara dijangka berevolusi ke tahap baharu secara keseluruhannya apabila Celcom Axiata Bhd dan Ericsson pada Khamis melaksanakan ujian pertama 5G Malaysia.
Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, berkata teknologi 5G penting - dalam memperkasakan industri tempatan bagi sektor telekomunikasi, kewangan dan perindustrian; hinggalah kepada sektor kerajaan dan swasta, sekali gus menjadi kunci bagi mencapai sasaran Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020.
"Dengan pelancaran hab digital utama baru-baru ini iaitu Zon Perdagangan Bebas Digital dan Kuala Lumpur Internet City, Malaysia membayangkan menjadi pusat ekonomi Internet Asia Tenggara.
" Ini akan memacu Malaysia menjadi satu daripada hab digital dibina khas terbesar dunia bagi syarikat gergasi teknologi dan pemula niaga utama dari seluruh dunia.
"Di sinilah 5G memainkan peranan penting dalam memastikan bukan sahaja kecekapan tetapi juga membuka pintu peluang bagi pemain digital.
"Pada dasarnya, 5G akan menjadi asas kukuh dalam mewujudkan ekosistem padu bagi membolehkan inovasi," katanya pada sesi ujian pertama 5G yang diadakan di sini, pada Khamis.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutfi Celcom Michael Kuehner berkata Celcom sentiasa komited dalam membangunkan dan meneruskan evolusi rangkaiannya dengan teknologi terkini dan membawakan pengalaman digital terbaik kepada rakyat Malaysia.
"5G sangat penting kepada Celcom kerana ia akan menyokong pembangunan dan memenuhi keperluan komunikasi pengguna dan pendigitalan pelbagai industri. Penting bagi kami untuk meneroka teknologi generasi baharu ini dan keupayaannya dengan rakan kongsi global seperti Ericsson," katanya.
Sementara itu, Presiden Ericsson Malaysia dan Sri Lanka Todd Ashton juga menyifatkan kerjasama dengan Celcom itu sebagai menunjukkan lagi sokongan Ericsson terhadap Malaysia dalam menuju ke arah pelaksanaan 5G, susulan kejayaan Pusat Inovasi bagi 5G yang ditubuhkan tahun lepas dengan Universiti Teknologi Malaysia.
"Bersama dengan rakan kongsi seperti Celcom, kami akan mengkaji dan menguji teknologi baharu ini bagi memanfaatkan potensi penuh 5G bagi pengguna, pengguna perniagaan dan keseluruhan industri di negara ini," katanya.
Bercakap pada sidang akhbar kemudiannya, Kuehner berkata banyak lagi ujian perlu dijalankan, daripada aspek teknikal serta perbincangan berterusan dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia bagi aspek kawal selia.
Pelaksanaan penuh rangkaian itu kepada pengguna di Malaysia disasarkan antara 2020 dan 2025 manakala pengguna global boleh menikmati pengalaman ini seawal Februari 2018 semasa Kejohanan Olimpik Musim Sejuk di Korea Selatan dan Kejohanan Olimpik dan Paralimpik Tokyo pada 2020.
-- BERNAMA
#5G #celcom #Ericsson #telekomunikasi
;