Celcom Axiata akan perkenal tiga produk sebelum akhir tahun

Bernama
September 21, 2015 18:57 MYT
Produk baharu mungkin dalam bentuk segmen pasca bayar, prabayar dan kandungan.
Celcom Axiata Bhd akan memperkenal tiga produk menjelang akhir tahun, dan agresif memasarkan Magic SIM Xpax bagi mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran, terutama dalam segmen belia.
"Produk baharu mungkin dalam bentuk segmen pasca bayar, prabayar dan kandungan. Ia bergantung sepenuhnya kepada minat pelanggan. Namun, buat masa ini kami menyaksikan penggunaan besar segmen internet," kata Ketua Pegawai Pemasarannya Zalman Zainal di sini hari ini.
Beliau berkata demikian kepada media selepas melancarkan penawaran internet percuma Magic SIM Xpax, Burung Hantu.
Internet percuma Burung Hantu membolehkan pengguna melayari internet tanpa henti di antara 1 pagi dan 7 pagi, melalui langganan pelan mingguan atau bulanan bermula daripada RM10.
Zalman berkata pelan prabayar Xpac Magic SIM, yang diperkenal pada Jun lepas, mendapat sambutan menggalakkan daripada golongan belia.
"Sejak pelancaran Xpax Magic SIM, kami menyaksikan momentum positif peningkatan pelanggan. Kami mahu mencapai keputusan yang lebih baik untuk segmen prabayar dan akan terus berusaha lebih keras. Kami akan memperkenal tiga lagi ciri khusus pelan prabayar," katanya.
Sehingga suku kedua berakhir 30 Jun, 2015, pelanggan asas Celcom berjumlah 12.34 juta, termasuk 9.49 juta pengguna prabayar.
#celcom #Celcom Axiata #Xpax Magic SIM
;