CBP tersenarai dalam Koperasi Premier Negara 2021
Astro Awani
Disember 23, 2021 22:58 MYT
Disember 23, 2021 22:58 MYT
KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) telah tersenarai di dalam Koperasi Premier Negara bagi tahun 2021 oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
Pegawai Eksekutif CBP, Khairil Anuar Mohamad Anuar berkata pengiktirafan untuk berada di dalam kelompok Koperasi Premier yang diberikan oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah membuktikan kemampuan CBP untuk terus mengekalkan kecemerlangan prestasi perniagaannya dan seterusnya akan memberi manfaat kepada hampir 100,000 anggota CBP.
Jelasnya, CBP sebelum ini telah dinobatkan sebagai pemenang tempat pertama Koperasi Terbaik negara di dalam Profil 100 Koperasi Negara 2020.
"Sebagai co-opbank syariah terunggul di Malaysia, kami akan terus komited bagi menjadikan CBP sebagai suatu jenama korporat yang diterima dan dikenali ramai.
"Pengiktirafan usaha ini penting bagi membuktikan CBP berada pada landasan yang tepat dalam memastikan ia dapat bergerak seiring dengan institusi kewangan yang lain.
"Saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak termasuk Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), SKM, anggota lembaga, anggota CBP serta warga kerja CBP di atas kepercayaan serta usaha yang dicurahkan selama ini," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu kata Khairil Anuar, komitmen dari seluruh warga CBP turut menjadi faktor penyumbang kepada pencapaian berkenaan.
"Umum mengetahui bahawa tahun 2020 merupakan tahun yang amat mencabar bagi hampir semua perniagaan. Bagaimanapun, CBP telah berjaya mendepani cabaran ini berdasarkan pencapaian prestasi kewangan tahun 2020 yang mencatatkan keuntungan sebanyak RM85.1 juta.
"Bagi menghadapi cabaran perniagaan bagi tahun-tahun seterusnya, CBP sedang merangka beberapa strategi perniagaan baharu yang dapat memelihara kelestarian prestasi CBP," ujarnya.
CBP ditubuhkan pada 7 Jun 1950. Pada September 2014, CBP telah diiktiraf oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia dan Bank Negara Malaysia sebagai sebuah co-opbank.
CBP mempunyai 29 buah cawangan dan outlet Ar Rahnu di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak dan menawarkan pelbagai produk perbankan patuh Syariah termasuk perkhidmatan Ar-Rahnu.