CBP sasar pendapatan ar-rahnu cecah RM350 juta

Astro Awani
Februari 27, 2021 13:03 MYT
Mohd Nor berkata dia melihat ramai penjaja dan peniaga kecil menggunakan perkhidmatan pajak gadai konvensional atau ar-rahnu bagi dijadikan modal untuk memulakan perniagaan. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) mensasarkan peningkatan pendapatan daripada perkhidmatan ar-rahnu mencecah RM350 juta bagi 2021 berbanding pencapaiannya sebanyak RM290 juta pada tahun lalu.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata ini berikutan dengan situasi semasa dari impak COVID-19 yang menjadikan perkhidmatan ar-rahnu sebagai pembiayaan mikro terutama dalam kalangan golongan penjaja dan peniaga kecil.
“Sejak tamat tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) sebelum ini, saya melihat ramai penjaja dan peniaga kecil menggunakan perkhidmatan pajak gadai konvensional atau ar-rahnu bagi dijadikan modal untuk memulakan perniagaan.
“Konsep dibawa ini bukan perkara baharu kerana perkara ini sudah menjadi amalan dalam kalangan peniaga wanita terutama di kawasan Pantai Timur apabila mereka menggunakan emas sebagai modal pusingan perniagaan.
“Sehubungan itu, saya ingin menguar-uarkan kepada umum bahawa emas yang dicagar atau gadai boleh digunakan sebagai modal perniagaan terutama dalam tempoh pandemik ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Kata Mohd Nor lagi, ramai yang masih kurang sedar akan kelebihan dan memahami konsep pajak gadai Islam atau ar-rahnu berbanding dengan aliran pajak gadai konvensional.
Jelasnya, mengikut laman web Kementerian Perumahan Kerajaan dan Tempatan (KPKT) tidak kurang empat juta penduduk di negara ini menggunakan perkhidmatan pajak gadai konvensional dengan hampir 300 pajak gadai di seluruh negara.
“Oleh demikian, saya rasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran kepada masyarakat terutama pelanggan CBP supaya berhijrah daripada pajak gadai konsensional kepada ar-rahnu.
“Ar-rahnu berlandaskan 100 peratus patuh syariah, tiada riba, telus kerana emas dinilai menggunakan mesin khusus, bermutu tinggi dan mengikut piawaian prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan jika dibandingkan dengan pajak gadai konvensional yang dijalankan di luar kaunter,” katanya.
Tambah Mohd Nor, bagi memastikan CBP menjadi peneraju perkhidmatan ar-rahnu, satu kempen khusus diadakan awal bulan ini dengan menawarkan kadar keuntungan 6.9 hingga 7 peratus sahaja.
“Jika dibandingkan dengan pajak gadai Islam lain, kadar keuntungan maksimum adalah 12 peratus dan bagi pajak gadai konvensional pula sehingga 24 peratus yang juga jauh lebih tinggi jika dibanding kesemuanya.
“Kempen ini disasarkan dapat menjadikan CBP sebagai peneraju pasaran perkhidmatan pajak gadai Islam.
“Selain kempen, CBP juga menggunakan alternatif lain termasuk media massa bagi memberikan pendedahan kepada umum mengenai kelebihan pajak gadai Islam berbanding dengan pajak gadai konvensional,” katanya lagi.
#Co-opbank Pertama #CBP #Ar-Rahnu #pandemik #SOP #peniaga #perintah kawalan pergerakan bersyarat #perintah kawalan pergerakan
;