CBP sasar 200 koperasi membabitkan jumlah deposit RM100 juta
Astro Awani
Mac 16, 2021 20:41 MYT
Mac 16, 2021 20:41 MYT
KUALA LUMPUR: Co-opbank Pertama (CBP) mensasarkan jumlah koperasi yang mendepositkan ke Akaun Deposit Koperasi (ADK) meningkat kepada 200 koperasi dengan peningkatan jumlah deposit RM100 juta.
Pengerusinya, Kamari Zaman Juhari, berkata setakat Disember tahun lalu, sebanyak 128 koperasi telah mendeposit ke dalam ADK di CBP dengan jumlah deposit yang diterima mencecah RM66 juta.
Beliau berkata, CBP yang dilantik sebagai Pengurus Dana ADK-Kumpulan Wang Rizab Statutori (KWRS) pada September 2019 bekerjasama dengan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menjelajah hampir ke setiap negeri bagi mempromosikan dana KWRS ke ADK.
“Beberapa siri jerayawara (roadshow) juga sudah dirancang pada tahun ini bagi mempromosikan ADK kepada setiap koperasi.
“ADK ini diwujudkan bertujuan untuk membiayai pembagunan aktiviti dan perniagaan koperasi serta ia adalah satu inisiatif oleh SKM bagi melengkapkan ekosistem pendanaan dan pembiayaan bagi Gerakan Koperasi di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan selepas Majlis Pengisytiharan Dividen ADK-KWRS & Majlis Penyampaian Naugerah Koperasi Terbaik 2020 pada Selasa.
Turut hadir, Pengerusi Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh, Timbalan Pengerusi Eksekutif SKM, Zazali Haron dan Timbalan Setiausaha Bahagian Pembagunan Koperasi, Penjaja dan Peniaga Kecil, Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (MEDAC).
ADK adalah ialah akaun yang diwujudkan di bawah peruntukan subseksyen 43(1), Akta SKM 2007 (Akta 665) yang memperuntukkan kesemua koperasi hendaklah mendepositkan kumpulan wang mereka yang tidak diperlukan dengan segera bagi operasi atau pelaburan ke dalam ADK.
Kamari Zaman berkata, SKM turut menguatkuasakan arahan mendepositkan KWRS ke dalam ADK mulai tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018.
“Mandat penggunaan dana ADK-KWRS adalah dihadkan kepada penempatan di institusi kewangan dan juga bertujuan pembiayaan untuk koperasi mengembangkan aktiviti perniagaan selaras dengan objektif dan visi mereka.
“Ketetapan SKM ini bertujuan untuk melindungi depositi statutori, disamping menjana pulangan yang kompetitif kepada pendeposit,” katanya.
Pada majlis berkenaan, sebanyak 10 koperasi yang juga pendeposit tertinggi ADK dengan jumlah deposit melebihi RM45 juta hadir pada majlis penyerahan dividen.
#Co-opbank Pertama
#CBP
#Akaun Deposit Koperasi
#Kamari Zaman Juhari
#koperasi
#SKM
#Medac
#Suruhanjaya Koperasi Malaysia
#GERAKAN
#peniaga
#pelaburan
#usahawan