CBP buka dua cawangan di Manjung, Setapak

Astro Awani
November 12, 2020 05:00 MYT
Pembukaan dua cawangan baharu ini antara strategi CBP untuk membawa perkhidmatan perbankan terus kepada penduduk di sekitar dua negeri itu.
KUALA LUMPUR : Co-opbank Pertama (CBP) terus mengukuhkan kedudukannya sebagai institusi kewangan menerusi pembukaan cawangan ke-28 di Manjung, Perak dan Setapak, Selangor pada awal bulan ini.
Pembukaan dua cawangan baharu ini antara strategi CBP untuk membawa perkhidmatan perbankan terus kepada penduduk di sekitar dua negeri itu selain menyediakan rangkaian perkhidmatan perbankan penuh seperti di bandar besar lain.
Presiden juga Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Nor Abd Razak berkata pembukaan dua cawangan itu adalah komitmen CBP kepada penduduk di kedua-dua daerah tersebut bagi menyediakan perkhidmatan perbankan sebagai satu strategi CBP dalam pasaran perkhidmatan kewangan yang semakin kompetitif.
"CBP juga akan menumpukan kepada pelanggan baharu dan berkembang dalam penguasaan pasaran untuk mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah institusi kewangan.
"CBP menunjukkan prestasi cemerlang pada 2019 memandangkan jumlah pembayaran dividen paling tinggi sejak lima tahun lalu dapat diberikan dan kejayaan ini dicapai hasil pengurusan yang baik," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Kata Mohd Noh, dalam keadaan dunia mendepani pandemik COVID-19, ia tidak menjadi halangan apabila CBP mengambil inisiatif dengan memanfaatkan teknologi untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan yang disediakan menerusi pelbagai aplikasi dalam talian.
Selain itu, katanya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kedua cawangan baharu itu akan beroperasi seperti biasa pada jam 9 pagi hingga 5 petang.
“Pun begitu, operasi kedua-dua cawangan baharu itu dan termasuk semua cawangan CBP akan dijalankan mengikut prosedur operasi standard (SOP) serta menjaga penjarakan sosial dan lain-lain yang ditetapkan pihak kerajaan.
“Malah CBP muncul sebagai sebuah institusi menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuk menawarkan produk kewangan patuh syariah dengan keistimewaan tersendiri,” katanya.
Co-opbank Pertama (CBP) yang dahulu dikenali sebagai Koperasi Co-opbank Persatuan Malaysia Bhd kini tidak asing lagi dalam dunia koperasi.
Sepanjang 70 tahun beroperasi, CBP menempa pelbagai kejayaan dengan jumlah ahli kini melebihi 91,500 orang.
Organisasi yang dahulunya berperanan sebagai pertubuhan koperasi yang diasaskan di Kampung Pertama Permatang Pauh pada tahun 1950, kini menjadi antara institusi kewangan berdaya saing dalam memberi pelbagai perkhidmatan serta produk pembiayaan kepada orang ramai.
#CBP #institusi kewangan #Setapak #Mohd Nor Abd Razak #pembukaan cawangan #Manjong #COVID-19 #perintah kawalan pergerakan bersyarat #PKPB #Co-opbank Pertama
;