Cari industri bersesuaian, buang kerenah birokrasi mampu tarik pelaburan berimpak tinggi
Madiha Abdullah
Oktober 31, 2021 23:43 MYT
Oktober 31, 2021 23:43 MYT
KUALA LUMPUR: Malaysia seharusnya tidak mempunyai masalah untuk menarik pelaburan berimpak tinggi yang sesuai dengan keperluan teknologi dan seterusnya membuka peluang pekerjaan.
Namun, Pengerusi Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob berkata, biarpun mempunyai kelebihan, negara perlu mencari industri dan mewujudkan insentif yang sesuai, selain membuang kerenah birokrasi.
"Apa yang Indonesia, Vietnam dapat kita sudah dapat 20 tahun lepas. Kita ada tenaga kerja yang cukup, malah siap ambil dari luar. Tetapi sekarang negara-negara lain sudah terbuka jadi kita kena pantas untuk bersaing, sesuaikan diri dengan peluang.
"Kita kena cari indsutri yang sesuai dengan keupayaan, kita ramai graduan teknikal, cari industri yang sesuai untuk mereka. Mereka ini ada kepintaran, masuk enam bulan pun sudah boleh sesuaikan diri. Beri insentif menarik dan berbeza, hal birokrasi juga kena selesaikan. Kalau tak ada masalah, jalan saja.
"Kita sudah ada semua kemudahan, pelabuhan, lapangan terbang, jalan raya yang baik, tetapi kena ada komitmen tinggi, macam Singapura. Apabila pergi negotiate, nak apa, kita bagi. Cepat beri keputusan dan tahu apa yang dimahukan," katanya ketika muncul sebagai tetamu dalam diskusi Agenda AWANI bertajuk Bajet 2022: Menjadikan Malaysia Berdaya Saing Pasca Pandemik, malam ini.
Dalam masa yang sama, beliau juga menarik perhatian terhadap bidang pendidikan yang akan menjadi penggerak sektor industri.
Dengan Kementerian Pendidikan menerima peruntukan kedua tertinggi Bajet 2022 selepas Kementerian Kesihatan, Sulaiman berpendapat tidak wajar tanggungjawab pengurusan diletakkan di bahu kerajaan semata-mata.
"Isu sekarang bukan pada hardware tetapi content. Kedua, perlu rapatkan jurang antara bandar dan luar bandar. Hal ini mungkin boleh diselesaikan dengan latihan khusus untuk guru-guru. Apatah lagi dalam situasi kita sudah kehilangan dua tahun akibat pandemik.
"Bincang dengan ibu bapa, apa masalahnya. Apa pula penyelesaian, adakah dengan mengadakan program khas, tuisyen, atau komputer riba masih belum cukup? Ubah suai ikut keperluan.
Tambahnya, semua pihak terbabit dalam sistem pendidikan perlu tahu selok belok sistem berkenaan, mempunyai pengetahuan yang baik dalam pengurusan bajet yang diberikan dan tidak berterusan menyalahkan Kementerian Kewangan yang memberi peruntukan.
"Jangan hanya cakap oh, ini peruntukan sudah ada. Tidak, ia tidak berakhir di situ. Kena fikir pula pengurusan bajet, di luar bandar bagaimana, di Sabah dan Sarawak pula bagaimana.
"Semua pihak kena on top of things, tahu semua perkara, bukan sahaja di kementerian tetapi juga di pihak jabatan, sekolah dan guru-guru," ujarnya.