Capitaland beli tanah di Sungai Jawi berharga RM80 juta
Dagang News
Jun 8, 2022 09:45 MYT
Jun 8, 2022 09:45 MYT
KUALA LUMPUR: Capitaland Malaysia Trust (CLMT) memeterai perjanjian jual beli untuk memperoleh dua bidang tanah pegangan bebas bersebelahan dan hartanah perindustrian yang didirikan di dalamnya di Sungai Jawi, Pulau Pinang dengan harga RM80 juta.
Menurut syarikat itu dalam makluman di Bursa Malaysia, urus niaga itu menandakan kemasukan CLMT ke dalam sektor logistik Malaysia selepas peluasan mandat pelaburannya melangkaui sektor runcit untuk memasukkan hartanah dalam kelas aset komersial, pejabat dan industri.
"Selepas transaksi, penggearan CLMT akan meningkat daripada 35.9 peratus kepada 37.2 peratus, yang masih jauh di bawah had kawal selia 50 peratus.
"Cadangan pengambilalihan itu akan menyumbang secara positif kepada pendapatan CLMT dan meningkat pada peringkat pengagihan," katanya.
Ketua pegawai eksekutif dan pengurus CLMT CapitaLand Malaysia REIT Management Sdn Bhd, Tan Choon Siang berkata, cadangan pengambilalihan itu sejajar dengan objektif syarikat untuk memberikan pulangan jangka panjang dan mampan kepada pemegang unit dengan memperoleh hartanah berkualiti dengan pendapatan berulang yang stabil.
"Berikutan perluasan mandat pelaburan CLMT pada Jun 2021, kami berbesar hati untuk memulakan pengambilalihan hartanah logistik sulung kami, yang berada pada kedudukan yang baik untuk mendapat manfaat daripada kepentingan Pulau Pinang yang semakin meningkat sebagai salah satu hab perindustrian paling dinamik di Malaysia.
“Kami percaya permintaan untuk gudang logistik di Malaysia kekal kukuh dan berdaya tahan,” katanya. - DagangNews.com