Capital A sedang bincang pembelian pesawat, sebahagian daripada strategi pengembangan

Bernama
Disember 24, 2024 09:00 MYT
Fernandes beramah mesra bersama orang ramai pada Sambutan Krismas AirAsia MOVE di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2, Sepang, semalam. --fotoBERNAMA
SEPANG: Capital A Bhd sedang mengadakan perbincangan dengan pengeluar pesawat Airbus, Embraer dan Comac untuk membeli pesawat baharu sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan bagi operasi syarikat penerbangannya di bawah jenama AirAsia.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes mendedahkan rancangan itu semasa majlis Sambutan Krismas AirAsia MOVE dan Pengumuman Khas, di sini, semalam.
"Saya boleh mengesahkan bahawa kami sedang mencari lebih banyak pesawat. Pasukan saya akan ke Brazil dan sebahagian lagi daripada pasukan saya akan pergi ke Kanada untuk meninjau A220.
"Kami juga berbincang dengan Comac di China. Kami memerlukan lebih banyak pesawat, itu sudah tentunya. Dan kami memerlukan pesawat yang boleh menambah kepada kumpulan pesawat A321 kami," katanya.
Ditanya mengenai berapa jumlah pesawat baharu yang dirancang untuk dibeli, Fernandes berkata ia bergantung kepada keputusan lembaga pengarah.
"Ini (pembelian) tertakluk kepada lembaga pengarah, tetapi kami menyasar 100 (pesawat), mungkin lebih lagi," katanya.
Sementara itu, mengenai pelan penyusunan semulanya, Fernandes mengesahkan bahawa AirAsia X dan AirAsia akan digabungkan menjadi satu jenama, AirAsia Group.
"Langkah seterusnya adalah untuk menggabungkan AirAsia X dan AirAsia, jadi kami hanya mempunyai satu jenama, AirAsia.
"Kami juga akan menamakan semula kumpulan syarikat penerbangan itu sebagai AirAsia Group. Penggabungan ini akan menyelaraskan operasi kami dan mengukuhkan kedudukan kami dalam pasaran," katanya.
-- BERNAMA
#Tony Fernandes #pesawat baharu #AirAsia #Capital A
;