Capital A lantik Mohamad Hafidz sebagai pemangku CEO baharu airasia Super App

Bernama
Mac 14, 2023 05:45 MYT
Capital A berkata pelantikan itu susulan pengumuman peralihan kepimpinan baru-baru ini di airasia Digital, termasuklah anak syarikat airasia Super App dan BigPay. - Foto capitala.airasia.com
KUALA LUMPUR: Capital A Bhd pada Selasa mengumumkan pelantikan Mohamad Hafidz Mohd Fadzil sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) airasia Super App, menggantikan Amanda Woo, yang akan meletakkan jawatan berkuat kuasa 1 April, 2023.
Dalam satu kenyataan, Capital A berkata pelantikan itu susulan pengumuman peralihan kepimpinan baru-baru ini di airasia Digital, termasuklah anak syarikat airasia Super App dan BigPay.
Sementara itu, Colin Currie, yang menjawat dua jawatan sebagai CEO airasia Digital dan Presiden komersial Capital A, akan mengetuai usaha dalam menjalinkan kerjasama yang lebih erat di antara airasia Super App dan BigPay.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada Amanda di atas dedikasi dan sumbangannya dalam membawa Airasia Super App untuk berada di kedudukan seperti sekarang.
"Sejak 2012, beliau telah menyumbang dengan ketara kepada pertumbuhan perniagaan di seluruh Asean dan, dalam tempoh dua tahun lalu, beliau telah berjaya mengembangkan Super App ke seluruh Malaysia, Thailand, Indonesia dan juga di Filipina. Beliau juga berjaya menambah jumlah pengguna aktif platform tersebut kepada 12 juta pengguna di akhir 2022 serta mengukuhkan nama airasia Super App sebagai ejen pelancongan dalam talian (OTA)," kata Currie.
Sementara itu, Mohamad Hafidz berkata keutamaan segeranya ialah meneruskan visi untuk airasia Super App dan fintech melalui kerjasama lebih erat dengan barisan perniagaan Capital A yang lain, termasuk BigPay.
"Saya juga berharap untuk mengembangkan dan membangunkan Airasia Super App sebagai kedai sehenti untuk pengembaraan, memacu penukaran untuk hotel dan penerbangan, termasuk penerbangan bukan AirAsia," tambahnya.
-- BERNAMA
#AirAsia #Capital A #BIGPay #dalam talian
;