Capai tahap tertinggi hampir AS$500, saham GameStop jatuh 44 peratus pada penutup Khamis
Astro Awani
Januari 29, 2021 08:10 MYT
Januari 29, 2021 08:10 MYT
NEW YORK: Saham GameStop jatuh 44 peratus kepada AS$193 sesaham pada penutup Khamis.
Terkini, aplikasi Robinhood dilapor membenarkan pembelian saham terpilih termasuk GameStop, Blackberry, AMC dan Nokia dengan jumlah terhad.
Menurut laporan CNBC, sebelum ini aplikasi Robinhood melarang pembelian saham GameStop oleh pelabur runcit.
Saham GameStop dilapor meningkat sehingga lebih 1,500 peratus pada 2021, didorong Forum Wallstreetbets di Reddit yang bersatu untuk meningkatkan nilai saham berkenaan.
Forum tersebut dilapor mempunyai sekitar 3 juta ahli.
Dalam masa yang sama, asakan belian berterusan pelabur runcit ini juga mengakibatkan syarikat dana lindung nilai kerugian sehingga sekitar AS$5 billion, menurut laporan Market Insider.
Pelbagai sumber media lain melaporkan kerugian syarikat dana lindung nilai ini mungkin lebih besar.
Dana lindung nilai ini bertaruh yang saham GameStop akan jatuh nilai.
Namun taruhan ini dinafikan dengan pelabur runcit yang terus membeli saham tersebut.
Selagi harga saham ini meningkat, taruhan syarikat dana lindung nilai ini akan terus catatan kerugian.
Pada awal 2021, saham GameStop diniagakan sekitar AS$20 sesaham namun pada Khamis, ia mencapai tahap tertinggi sekitar AS$490 ke AS$500 seunit.
GameStop ialah syarikat menjual permainan video dan barangan elektronik pengguna dengan 5,500 cawangan di serata dunia.
Tindakan aplikasi Robinhood menghentikan pembelian saham GameStop sebelum ini dikritik keras ahli politik Amerika Syarikat (AS).
Menurut mereka tidak adil untuk Robinhood menyekat pembelian daripada pelabur runcit dan membenarkan syarikat dana lindung nilai ini berdagang dengan bebas.
Tambah bekas setiausaha buruh AS, Robert Reich, jika Wall Street boleh bertaruh seluruh ekonomi AS dan mengakibatkan krisis 2008, kenapa pelabur runcit tidak diberikan turut serta dalam pasaran bebas Wall Street.
#Robinhood
#Game Stop
#saham
#BlackBerry
#AMC
#Nokia
#pelabur runcit
#Forum Wallstreetbets
#Reddit
#asakan belian