Canva menaikkan yuran langganan sehingga 300%

Amanz
September 4, 2024 10:50 MYT
Julai lalu Canva mengambil alih firma Lenorardo AI yang menghasilkan AI generatif teks kepada gambar. - Foto Amanz
CANVA secara senyap akan menaikkan yuran langganan perkhidmatan mereka sehingga 300% bergantung kepada pelan yang digunakan.
Menurut laporan The Verge, pelanggan mula menerima emel semalam mengatakan pelan AUD$39.99 sebulan untuk satu pasukan kini meningkat ke AUD$40.50 sebulan untuk setiap individu.
Ini adalah peningkatan mendadak daripada AUD$480 setahun ke AUD$2,430 setahun bagi pasukan yang mempunyai lima pengguna.
Yang mengecewakan pelanggan ialah tiada pengumuman dilakukan secara rasmi mengenai kenaikan harga ini di laman mereka.
Ketika artikel ditulis Canva masih belum memberikan sebarang komen atau menerbitkan senarai lengkap harga baharu pelan mereka di laman rasmi.
Pelanggan yang menerima emel kenaikan harga mengatakan sebab yang diberikan Canva ialah bagi menggunakan beberapa ciri kecerdasan (AI) yang diperkenalkan baru-baru ini.
Julai lalu mereka mengambil alih firma Lenorardo AI yang menghasilkan AI generatif teks kepada gambar.
Tindakan Canva dikecam pelanggan kerana selama ini ia dilihat sebagai alternatif lebih murah berbanding sut perisian kreatif Adobe di pejabat.
Sumber: The Verge
#Canva #yuran langganan #AI Generatif #kenaikan harga