Cameron mahu kembangkan sistem kewangan Islam di UK

Mariah Ahmad
Julai 30, 2015 22:46 MYT
CAMERON:Bandar-bandar utama kami mengalami transformasi yang baru berikutan sistem kewangan Islam yang sedia ada. Namun saya mahu melihat kelebihan kewangan Islam lebih dari itu. - Foto AFP
Bagi mengalakkan lagi tranformasi kewangan Islam di United Kingdom, Perdana Menteri Britain David Cameron pada Khamis telah memperkenalkan buku-buku kewangan syariah mengenai projek-projek penjanaan semula di negara itu.
Buku ini menurut Cameron, bakal menarik pelabur yang menggunakan sistem kewangan Islam atau konvensional.
"Bandar-bandar utama kami telah mengalami transformasi yang baru berikutan sistem kewangan Islam yang sedia ada. Namun saya mahu melihat kelebihan kewangan Islam ini lebih dari itu.
"Kami mengumpul 18 buku-buku kewangan syariah mengenai projek penjanaan semula United Kingdom untuk anda lihat sendiri peluang-peluang ini kerana ketika ini nama Britain sedang meningkat naik dan kami mahu anda menjadi sebahagian daripada perjalanan ini," jelas beliau dalam ucapannya pada Majlis Resepsi ‘Battersea and Beyond’ di Symphony Lakesuit KLCC, Kuala Lumpur.
Dalam ucapannya juga, beliau menekankan kepentingan hubungan perniagaan antara UK dan Malaysia, dan peluang-peluang perniagaan serta pelaburan antara kedua-dua negara.
Beliau berkata pada tahun 2014, 25 syarikat utama Britain di Malaysia, dengan jumlah pelaburan £17.2 bilion dan masih meningkat, mewujudkan 70,000 pekerjaan.
Terdahulu, pagi tadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyambut ketibaan Cameron di Dataran Perdana di Putrajaya.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyambut ketibaan Cameron di Dataran Perdana di Putrajaya pada pagi Khamis. - Foto Bernama
Perdana menteri Britain itu sedang dalam rangka lawatan kerja sehari ke Malaysia sebagai sebahagian daripada lawatannya ke empat negara Asia Tenggara iaitu Indonesia, Singapura, Vietnam dan Malaysia bagi menggalakkan perdagangan serta pelaburan United Kingdom.
Kementerian Luar dalam kenyataan hari ini berkata lawatan Cameron memperlihatkan hubungan rapat dan mesra antara Malaysia dan United Kingdom.
#Britain #David Cameron #kewangan Islam #Najib Razak #syariah
;