CAEXPO: Usahawan perlu fokus platform e-dagang - Ong Kian Ming
Nursyazwani Saiful Sham
September 11, 2018 06:52 MYT
September 11, 2018 06:52 MYT
Kewujudan gudang bersama Malaysia-China di ibu negara dilihat sebagai satu keperluan untuk memudahkan pengurusan kastam melalui pasaran e-dagang.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Dr Ong Kian Ming menyifatkan keperluan itu sebagai jalan yang lebih pantas untuk meluluskan sesuatu produk yang menembusi pasaran China.
Bukan itu sahaja, beliau juga menyatakan, terdapat tiga cadangan lain untuk menambah baik gudang yang sedia ada di sini.
“Tiga cadangan yang diberikan adalah untuk membina gudang seperti ini di Kuala Lumpur. Yang kedua adalah menambah jumlah penerbangan kargo antara Nanning dan KL.
“Buat masa ini hanya satu sahaja syarikat penerbangan yang terbang ke China, dan hanya membawa penumpang dengan kargo bersaiz 1.5 tan. Itu tidak mencukupi.
“Seterusnya adalah menambah baik proses kemasukan produk seperti sarang burung dan durian musang king yang mempunyai permintaan tinggi di China,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pavilion Malaysia sempena Ekspo China Asean (MCKK) di sini, pada Selasa.
Tambahnya, kerjasama ini akan membantu proses kemasukan produk dari Malaysia ke China dengan lebih efisien.
Usahawan perlu teroka pasaran e-dagang
Dalam sesi sidang media sama, terdapat beberapa intipati menarik termasuk apabila Ong menyeru usahawan untuk tidak hanya fokus kepada satu platform e-dagang tetapi luaskan pengetahuan dengan meneroka lebih banyak platform yang disediakan.
“Saya ingin tegaskan agar usahawan tempatan menggunakan pelbaga platform e-dagang yang lain dan bukan hanya tertumpu kepada platform yang sudang matang seperti Alibaba.
“Walaupun Pengasas Alibaba, Jack Ma akan mengundurkan diri, tetapi saya rasa ia tidak akan menjejaskan perniagaan melalui platform itu kerana ia akan terus digunakan bagi tujuan yang sama,” jelasnya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab persoalan dari cakap-cakap tentang peletakan jawatan sebagai Pengasas Jack Ma.
Syarikat China mahu melabur
Sementara itu, beliau turut memaklumkan bahawa terdapat dua pelabur China yang menumenunjukkan minat untuk membuka operasi bernilai berbilion ringgit di Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP).
"Mereka mahu menjadikan Malaysia sebagai platform untuk mengeksport (produk mereka) ke Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN lain. Bagaimanapun, kita tidak boleh mengasingkan alasan sebenar mereka melabur di sini (di Malaysia).
"Ia adalah pempelbagaian risiko mereka tetapi ia juga adalah untuk menembusi pasaran baharu dalam ASEAN jadi mereka melihat ini sebagai situasi sama-sama menang,” ujarnya.
#Alibaba
#ASEAN
#CAEXPO 15
#China
#E-dagang
#gudang
#Jack Ma
#kargo
#kastam
#Kuala Lumpur
#Matrade
#MITI
#nanning
#Ong Kian Ming
#Pavilion Malaysia
#produk